SAJAK MAKAN MALAMAku dijemput untuk makan malam
kata angsa yang menjemputku
aku akan diberi satu meja
bersama dengan rakan penulis
aku berkira-kira dalam hati ini
dapat aku bercerita
lewat seputar perihal sastera.
Bila aku menapak di hadapan
menuju ke majlis makan malam
aku menjadi seekor semut
yang terkemut-kemut malu
bila orang yang amat kukenali
seperti gajah dengan belalai
yang agam dan panjang tidak melihatku,
tahulah aku aku semut, dia gajah,
ceritaku tidak berakhir di situ
dalam hati semoga aku
dapat bertemu dengan rakan penulis
dan dapat juga aku berbual dengan mereka nanti
apa tidaknya aku dari hutan jauh
yang penuh dengan hantu
sambil meredah ribut taufan
untuk ke majlis makan malam ini.
Aku terpinga-pinga lagi
di mana angsa yang menjemputku
tidak kelihatan, mujurlah seorang lelaki
yang bersih wajahnya menunjukkan aku sebuah meja,
terima kasih lelaki yang bersih itu,
hanya Tuhan yang memberkatimu lelaki,
tidak sebelum itu bila beberapa ekor angsa
terkedek-kedek dengan senyuman murah
berlagak membawa telur emas milik mereka.
Namun laraku terubat bila tetamu malam itu
mengenaliku, tidak seperti beberapa ekor angsa dan gajah
yang tidak melihat kelibatku
kerana kemaruk dengan identiti
masing-masing,
teruskanlah menjadi gajah dan angsa
kerana itulah pilihan kalian.
17 Disember 2008
kota samarahan.