BAB 22DESTINASI Holdings berdiri megah di Loagan Bunut. Bangunan yang bercat putih dengan sedikit warna hijau muda itu jika dilihat dari jarak jauh kelihatan seperti susuk seseorang yang sedang bertafakur. Di dalam bangunannya dihiasi dengan pelbagai hiasan tradisi dari suku kaum Berawan, Penan dan Iban. Jika tuan masuk melalui pintu utama tuan akan menuju sebuah pejabat tertera nama Seluna Ungkit yang merangkap sebagai Pegawai Kepelbagaian Biologi Dan Pemuliharaan Alam Sekitar dan bersebelahannya pula, tuan akan menuju ke pejabat yang tertera nama Malaie Lakei sebagai Pegawai Perancangan Eko-Pelancongan. Seramai dua puluh orang yang berkerja di bawah seliaan mereka berdua. Sementara Ulin ditugaskan sebagai Penyelia Hutan yang melibatkan pemulihan alam semulajadi di Loagan Bunut yang menjaga serta memantau kitaran flora dan fauna yang hampir pupus dan terbiar.
Di papan tanda kawasan tasik setiap satu tertera nama spesies flora yang berkaitan dengan status tumbuhan tersebut serta nama saintifiknya. Di mana sesiapa saja pasti dapat mengenali setiap kitaran flora yang unik yang terdapat di hutan lipur Loagan Bunut. Begitu juga laluan kawasan hutan yang direntangi jambatan untuk berjalan kaki yang memanjang yang dibina dengan rotong-royong dari suku kaum Berawan, Penan dan Iban hingga ke usus hutan, di mana terdapat juga papan tanda setiap jenis pokok-pokok yang menjulang ke perabung langit. Setiap pangkal atau banir yang pepeh pokok tersebut dicatatkan kitaran usia bagi memudahkan pengunjung yang ingin tahu tentang spesies yang terdapat di hutan tersebut.
Di kawasan yang tidak jauh dari situ terdapat juga koleksi mengenai spesies fauna seperti Khinzir, Rusa, Kuang Raya, Kera, Napuh, Tupai, Ungka Tangan Hitam, Bulbul, Kelelawar, Bangkau, Pucung, Helang, Pekaka Belukar, Kenyalang, Layang-Layang dan Musang Pulut. Malah pelbagai spesies serangga juga tercatat jelas kitaran hidupnya. Jika tuan yang berada di Loagan Bunut berada pada masa yang tepat dengan masa yang telah ditetapkan di situ, maka tuan akan dapat melihat serta menikmati pelbagai jenis tarian, muzik dan bentuk upacara ritual dari suku kaum Berawan, Penan dan Iban yang akan dimainkan di ruang auditorium yang dapat memuatkan sekitar seratus lima puluh orang. Persembahan tersebut yang melibatkan tradisi suku kaum yang terdapat di Loagan Bunut dilakukan sendiri oleh penduduk setempat.
Sejak pembinaannya yang mengambil masa yang agak panjang, Loagan Bunut sebuah destinasi pelancongan yang pasti memukau sesiapa saja yang datang ke situ. Malah daya tarikan di tasik semulajadi yang besar itu cukup menarik perhatian sesiapa saja. Purata pelancong yang datang ke Loagan Bunut setiap bulan meningkat mengikut catatan kalendar tahunan Destinasi Holdings. Semua itu kerja keras Seluna dan Malaie yang teruja sekali melihat pembangunan Loagan Bunut, meskipun sebelum ini apa yang berlaku cukup membuat mereka diasak nostalgia yang tidak mungkin dapat disirnakan begitu saja, kerana Loagan Bunut menyimpan detik tragis yang terus mengusik hati dan perasaan sesiapa saja yang pernah melaluinya.
Di hujung tasik kelihatan Ungkit leka dengan selambaunya. Selambau itu tidak digunakan lagi untuk menangkap ikan. Sebaliknya tercatuk di situ sekadar sebagai ingatan yang tetap menggamit nostalgia, bahawa apa yang terjadi masa kini banyak mengingatinya tentang perjuangan dan kegigihan dua orang yang telah meniupkan semangat warga peribumi di Loagan Bunut, bahawa mereka harus bangkit daripada sejarah masa lalu yang getir untuk destinasi masa kini.
Dan jika tuan memerhati dengan teliti pada ruang hadapan bangunan Destinasi Holdings itu tercatat dua nama khas yang diukir dengan ukiran tangan dari suku kaum Penan dan Berawan, iaitu nama Drusai Legili dan Dewan Ungkit yang tetap diingati sesiapa saja. Malah nama itu telah tersemat kukuh di hati Seluna dan Malaie kerana hanya mereka berdua yang begitu memahami, bahawa hati dan perasaan mereka yang mengerti pada setiap renungan, senyuman serta tawa Drusai dan Dewan terus menggamit nurani. Seluna dan Malaie menuju ke tempat dua nama yang begitu akrab dengan mereka. Dua nama yang tidak mungkin lenyap begitu saja, setelah apa yang berlaku itu seperti perjuangan yang harus diteruskan sesiapa saja oleh warga peribumi di Loagan Bunut demi merealisasikan sebuah impian.
“Akhirnya kita menemui destinasi kita, Laie. Meskipun untuk kita mengecapi destinasi ini, kita kehilangan orang yang banyak memberi sumber inspirasi untuk memerdekakan Loagan Bunut. Namun aku percaya roh mereka berdua bersama kita dan menikmati apa yang kita kecapi kini.”
“Ya, Luna. Kita takkan melupakan apa yang telah ditinggalkan oleh Drusai dan Dewan terhadap pembangunan Loagan Bunut. Jika mereka ada, pasti mereka tersenyum melihat Loagan Bunut gah hasil daripada cetusan mereka selama ini.”
“Dan yang paling menggembirakan, bila mereka berdua seperti tak mahu mengalah pada sesiapa saja. Mereka yang ingin melihat Loagan Bunut bangkit daripada pasungan kemiskinan. Drusai seorang jurnalis yang luar biasa hebatnya yang telah memerangkap Tauke Jr dan Tuan Do dalam situasi yang resah.” Ulin yang datang dari belakang seperti tahu, bahawa Seluna dan Malaie merindui mereka berdua.
“Terima kasih Ulin, tanpa pertolongan awak, kami tak mampu melihat Destinasi Holdings berdiri gah di Loagan Bunut ni.” Kalimat Seluna mersik menyusup dalam hati Ulin. Malaie di sebelahnya hanya merenung penuh sayu dua nama itu yang begitu akrab dengan dirinya.
“Itu dah jadi tanggungjawab aku sebagai peribumi di Loagan Bunut ni. Lagipun, inilah impian Drusai dan Dewan untuk melihat Loagan Bunut terus gah sepanjang zaman. Gah tanpa campur tangan orang luar untuk menguasai Loagan Bunut ini.”
“Ya Ulin, sebahagian dari wujudnya Destinasi Holdings adalah atas pertolongan awak Ulin. Dan sudah lengkap Destinasi Holdings wujud di Loagan Bunut. Luna gadis Berawan, Ulin pemuda Iban dan aku gadis Penan yang kecewa.”
“Kecewa?” Serentak suara Seluna dan Ulin dan mereka kemudian merenung wajah tersipu-sipu Malaie yang membetulkan kaca matanya yang berkabus. Bibirnya bergetar bila dia mengingati semula renungan tulus Dewan sejak pertama kali mata mereka bertentang.
“Kecewa kerana destinasi perasaan ini tak pernah kesampaian. Destinasi perasaan aku terus berjeda.” Ujarnya lalu meninggalkan Seluna dan Ulin yang menelan kalimat tersebut dengan lirikan senyuman. Deruan angin pagi itu menderu perlahan. Langkah Malaie longlai menyusuri tebing Loagan Bunut. Sesekali dia menoleh memerhati wajah yang cukup memahami kehendak hati nalurinya.
Di tepi tasik Ungkit terus memerhati ke tengah tasik gigilan kumpulan Pepatung yang hinggap di pucuk rumputan. Sesekali dia merenung jauh ke sebelahnya, melihat tersergamnya Destinasi Holdings dalam kemilau air Loagan Bunut. Dia lalu merenung sedalam mungkin bangunan yang bercat putih dengan hijau muda itu. Di situ dia seperti melihat semula senyuman Dewan dan Drusai dalam sinar mentari pagi yang mula memercikkan cahaya emasnya ke seluruh bangunan tersebut. Cahaya yang sekian lama tenggelam di sebalik pucuk-pucuk pokok malar hijau dalam rebasan hujan.
“Aku tahu, kalian mendengar apa yang kukatakan. Aku tahu, kalian mengerti apa yang kuingati kini. Dan lelaki Berawan ni yang masih berasa kelibat kalian seperti cinta yang tak pernah mati dalam hati ini. Cinta yang tetap subur dan mekar seperti hutan di Loagan Bunut.” Dia terus berjalan meninggalkan gigilan kumpulan Pepatung yang masih di pucuk rumputan. Meninggalkan selambau yang tegak tidak dilabuhkan di dalam air seperti selalu. Semua itu cukup memahami hati dan perasaan yang setiap ketika merindui kelibat anak lelakinya yang selama ini banyak membantunya. Dewan yang tidak pernah berkira mengangkat selambau, tidak kira malam atau siang, hujan atau tidak, semua itu kunjungan nostalgia yang terus mengusik hati rawannya.
Dari kejauhan sayup suara kumpulan Monyet, Lotong, malah sesekali suara jerkah serta gumaman Orang Utan seperti menyusup pendengarannya. Dan lelaki itu akan tersenyum dalam keadaan yang terpaksa dan resah dalam semilir angin yang berpuput lembut mengelus rambutnya yang kian lebat memutih.
“Loagan Bunut sebuah destinasi yang diimpikan semua orang. Loagan Bunut menyimpan tragedi duka yang maha tragis.”
Ungkit terus menyusuri tebing Loagan Bunut. Herotan di wajahnya tidak berselirat lagi. Dia terus merenung ke tengah tasik untuk mencari semula gigilan kumpulan Pepatung yang hinggap di pucuk rumputan sejurus tadi. Namun dia kecewa kerana kumpulan Pepatung tersebut sudah beredar. Dia seperti melihat semula biasan wajah Dewan dan Drusai mengulum tersenyum dalam riak air di tasik Loagan Bunut yang tidak pernah difahami semua orang termasuk dirinya.
Apa yang pasti dia tetap ingat, bahawa pengorbanan mereka untuk merealisasikan destinasi Loagan Bunut terlaksana. Dan semua nostalgia itu terus mengacah-acah mengusik sanubari serta nalurinya. Dia terus berjalan pulang menyusuri tasik yang terus memercik kemilau balam cahayanya yang kadangkala sirna, matanya tetap melilau mencari semula kelibat kumpulan Pepatung di pucuk rumputan yang bergetaran bila dirembuh deru angin. Dia mengerti bahawa kumpulan Pepatung tadi mungkin terbang mencari destinasi lain.
“Aku pasti destinasi kalian meresap dalam zat diri.” Gumamnya lalu melangkah pergi tanpa menoleh lagi. Hatinya sepi, sesepi tasik Loagan Bunut. Loagan Bunut yang mengusiknya dengan sejambak rindu yang tulus dan luhur dalam desahan angin bulan Oktober pada destinasi lain. Destinasi yang menjanjikan keredupan, kebeningan, ketenangan dan kedamaian di lantai hutan hujan Loagan Bunut. Semua itu terus mengusik hati nurani sebuah lakaran pada dinding ingatan lelaki Berawan itu.
Glosari;
1. Anembiak: Panggilan untuk anak buah (Suku kaum Iban).
2. Apai: Bapa/Panggilan untuk lelaki yang lebih tua (Suku kaum Iban).
3. Gawai Antu: Sejenis perayaan untuk upacara meraikan alat keperluan perang (Suku kaum Iban).
4. Heng: Mood atau perasaan (Suku Kaum Iban).
5. Ilang: Sejenis parang yang diukir dengan berseni/Parang pahlawan (Suku kaum Iban).
6. Indai: Emak/Panggilan untuk perempuan yang lebih tua(Suku kaum Iban).
7. Induk: Perempuan/Betina. (Suku Kaum Iban).
8. Janek: Khinzir (Suku Kaun Iban).
9. Lakei Penan: Istilah yang dilebelkan kepada Bruno Manser.
10. Langkau: Sejenis arak yang ditapis dari tapai, tapi baunya cukup perat dan meloyakan. (Suku kaum Iban).
11. Lejeng: Tempat menyimpan mayat (Suku kaum Berawan).
12. Manang: Bomoh/Dukun. (Suku Kaum Iban).
13. Menyaki: Bersetubuh bagi binatang saja. (Suku Kaum Iban).
14. Ngajat Perang: Sejenis tarian yang hanya ditarikan kaum lelaki. Tarian ini dilakukan bila hendak pergi berperang atau pelbagai upacara(Suku kaum Iban).
15. Nuan: Ganti nama awak/kamu (Suku kaum Iban).
16. Pantap: Memenggal kepala (Suku kaun Iban).
17. Parai: Meninggalkan dunia/Menyumpah (Suku kaum Iban).
18. Selambau: Sejenis jaring berbentuk piramid yang dibentang melawan arus untuk memerangkap pelbagai hidupan di dalam air (Suku kaum Berawan).
19. Tuak: Sejenis arak yang diperbuat dari beras, tebu dan halia. Rasanya manis tapi kesannya cukup kuat. (Suku kaum Iban).
20. Uncak: Tempat meletakkan telur, sekapur sirih dsb untuk dijadikan upacara ritual. (Suku kaum Iban).

2 comments:
tahniah saudara. moga-moga boleh belajar dari saudara. salam sastera.
tkasih kunjungan.
Post a Comment