Thursday, November 26, 2009

rezeki novel; LOAGAN BUNUT

BAB 1

HUJAN yang turun sejak semalaman telah membasahi seluruh kawasan gunung-ganang serta hutan persekitarannya. Desahan angin monsun bulan November yang membawa udara dingin seperti melekat terus pada pucuk-pucuk pokok kayu yang menjulang langit. Rimbunan konopi pokok-pokok kayu tersebut jika diperhatikan dengan teliti, persis susuk seseorang yang sedang bertafakur.
Sesekali kedengaran suara resah-gelisah kumpulan fauna yang menjauh sayup di sebalik rimbun antara celahan pokok-pokok kayu yang agam dan tegak dalam posisinya, seperti pokok Menggeris, Kapur, Merpinang, Meranti, Mersawa, Merbau, Selangan Batu, Jongkong dan Ramin yang seakan mengerti, bahawa rintihan dan kesayuan hutan hujan sebelah sini, seperti ada yang terlupa sesuatu. Terlupa tentang redup kedamaian dan mersik keheningan yang minta dimengertikan menggulit setiap rasa dan perasaan penghuni di dalamnya.
Tegakan pokok Menggeris yang sebesar puluhan pemeluk lelaki dewasa itu merimbun angkuh serta agam dan di perdunya yang berselirat dengan banir serta akar yang pepeh keras, kelihatan Ungkit menahan henjutan susuk tubuh lepernya. Henjutan kepalanya yang tunduk menahan goncangan tubuhnya, kadangkala dia menyengetkan duduknya seraya menahan batuk yang bertubi-tubi mengasak. Seperti ada kerengatan luar biasa tersangkut antara rekongnya ketika itu. Bila kerengatan di rekongnya sedikit mereda dia berkahak lalu meludah, namun luncuran ludahnya yang pekat bergaul dengan pucuk muda yang sempat disambarnya sejurus tadi berlendir liut dalam air liurnya terlekat hujung kasutnya. Liut lendir itu diperhatikan seraya tangannya mencapai ranting lalu menguisnya beberapa kali. Bila ludah yang meliut itu melekat pada hujung ranting dia lalu menghumban ranting tersebut ke denai yang dilaluinya tadi. Bunyi yang menderam lembut di konopi pokok kayu sekitarnya menarik perhatian. Dia mendongak mencari terbit arah bunyi tadi. Di hujung dahan yang sedikit kendur posisinya, seekor Kongkang kecil berbulu kekuningan menjeling dalam jengulan mata yang membulat dan mengerikan. Dia memerhati terus kelakuan binatang tersebut yang leka memasukkan pucuk kayu ke mulutnya dengan lahap sekali kemudian ia mula bergerak lalu menyusup celahan dahan yang merimbun. Hilang dalam redup kehijauan.
Ungkit memerhati sekeliling dan mendongak ke pucuk pokok kayu Menggeris tempat dia duduk, namun kilasan anak matanya yang hijau dengan daun sekeliling tidak mampu mencari sasaran pandangan penglihatannya. Lingasan matanya yang sedikit kesasar itu sempat melirik pada banir pokok Menggeris yang cukup keras dan baik sekali untuk dijadikan sarung parang. Namun kudratnya amat terbatas sekali untuk merealitikan semua itu. Ungkit maklum, dia bukan lelaki yang kuat dan rajin seperti puluhan tahun dahulu. Menarah banir pokok Menggeris untuk dijadikan ulu dan sarung parang. Namun semua sarat keinginan itu sejak akhir-akhir ini terbantut bila seluruh sendinya seperti terikat, segala pergerakannya yang tergesa-gesa pasti membuat sengal memasung lalu menjalar seluruh uratnya. Ngilu dan menyakitkan setiap pergerakannya.
Di birai kelopak matanya ada kesan garitan kecil yang berkelapat dengan kulit di sisi keningnya. Anak matanya yang sebelah mengecil bila rentasan cahaya terang menguasai lalu membiasi penglihatannya. Berpinar retak dan silau. Tangan kirinya sempat menyeka peluh yang menganak persis kristal di dahi dan dilehernya. Perlahan-lahan dia mengalih pandangan pada pucuk pokok kayu Menggeris yang tidak dapat dilihatnya tadi, dan pandangannya lalu beralih pada anak betisnya yang likat berlumur dengan selut. Malah ada selut yang mula mengering kerana sudah terlalu lama dia bersandar pada banir pepeh pokok Menggeris itu. Lalu gulatan rasa sengal merayap segenap belakangnya, seperti jalaran akar-akar pokok Menggeris yang diduduknya itu. Ngilu dan berdenyut-denyut, persis kerumunan semut yang diganggu sarangnya. Dia cuba mengerakkan kakinya yang berasa bersemut itu, namun rasa aneh itu terus membatasi pergerakan kedua-dua kakinya. Untuk seketika dia menanti rasa aneh itu mengendur.
Dia mengeliat perlahan kemudian kedengaran derak-derak kecil sendinya yang cukup melegakan. Ada herotan di wajahnya bila dia cuba menggerakkan lehernya untuk menerbitkan derak-derak seperti tadi, seraya tangannya yang tergetar-getar meramas perlahan-lahan lehernya yang sedikit berkedut, dia lalu mengurut dengan cengkaman hujung jarinya, tapi kuku tangan yang sedikit kehitaman terkena selut itu melukai lehernya. Perit dan pedih bila lelehan peluhnya terkena garitan tadi.
Ungkit mendongak dan dia berasa seperti rentasan pinar-pinar mengerumuninya, seperti ratusan lebah mendengung di telinganya. Dia mengelip kelopak matanya berkali-kali, namun rasa asing dan pelik itu terus mengaburi penglihatannya. Dia berasa ada denyutan melekap dilehernya. Dia meramas lalu mengurutnya semula dengan hati-hati. Herotan wajahnya jelas kelihatan berselirat bila hujung jarinya menyentuh tempat yang sakit.
Dia cuba memejamkan kelopak matanya untuk menghilangkan rasa berpinar-pinar yang menirus dan dalam pada itu dia sempat mendengar lancipan desir hening yang tulus mengelilinginya. Hening sepi. Dia membuka semula kelopak matanya, seraya merenung jauh pada kehijauan flora yang seperti berbisik berulang-ulang kali kepadanya. Selamatkan kami, Ungkit. Selamatkan kami daripada malapetaka ini! Dia terkesima dengan apa yang telah didengarnya sejurus tadi, seperti desir-desir itu mengacah-acah dalam dirinya. Seperti desir-desir itu terjahan mimpi yang sama dilaluinya. Mimpi yang kerap mengejutkannya dengan teriakan yang sedikit keliru dan kosong. Dan semua itu terus menguasai dirinya. Dia membelalakkan kelopak matanya. Namun rasa kantuk itu terus menguasai dirinya.
Ungkit lalu bangkit, namun denyutan yang masih menjalar di anak betisnya membuat dia terduduk semula, ada kerutan berselirat wajahnya. Barisan giginya yang kekuningan dan ada yang terkeluar dari posisi asalnya, digeraknya dengan hujung jari telunjuk yang kontot kukunya. Sesekali dia memejamkan kelopak matanya semula, bila kesan daripada perlakuannya tadi membuat herotan wajahnya. Kesan terduduk dalam posisi yang tidak bersedia tadi membuat punggungnya ngilu pedih seperti sengatan ikan Keli yang terbenam di hujung jari ketika dia memunggut ikan tersebut di dalam selambaunya. Tangannya tergetar-getar meramas punggungnya yang terkena bonggolan banir pokok Menggeris pepeh keras itu. Dia menekan dengan jarinya perlahan dan rasa ngilu pedih itu mengendur dan sirna.
“Aku memang tak percayakan mereka tu. Mereka hendak menghalau kita dari hutan ini. Menghalau kita dari Loagan Bunut ini!” Kalimat itu terus bergema dalam dirinya. Kalimat yang terus berculang-caling dalam benaknya. Kalimat yang seperti terus memasung alur pemikirannya tanpa jeda. Dia mengacipkan kedua-dua bibir nipis hitamnya seraya matanya terkebil-kebil merenung rimbunan kehijauan yang mengepunginya.
“Tapi bapa, kita harus percayakan orang kerajaan yang diwakili Tuan Do tu. Kita harus melihat kebenaran kaum kita untuk mengecapi kemajuan seperti kaum majoriti di sini.” Anak tekaknya bergerak pantas, bila gema suara Dewan bergegar di pendengarannya, dan dia tidak mengerti mengapa anaknya mempercayai sungguh-sungguh kehendak Tauke Jr untuk membangunkan Loagan Bunut, kononnya hendak menaikkan taraf kehidupan warga peribumi di Loagan Bunut.
“Jadi aku harus menerima kehadiran orang-orang tu ke sini dan melupakan peristiwa tragis yang menimpa sebahagian daripada warga peribumi di Loagan Bunut ini? Gitu? Ingat Dewan, kita orang kecil, orang kecil harus tahu persekitaran yang kecil. Orang kecil tak perlu berangan menjadi orang besar. Kamu tak tahu apa yang telah berlaku di sini. Di kem pembalakan di hujung bukit itulah tempat mereka melakukan perkara terkutuk itu tanpa belas kasihan. Mereka melihat gadis Penan seperti binatang buruan di hutan. Mereka melihat susuk tubuh gadis Penan seperti tempat melempiaskan nafsu serakah mereka. Dan orang-orang luar itu juga yang telah merampas ketenangan dan ketenteraman hutan ini yang dulunya dihuni segala binatang, tapi kini semua itu hilang dan mati, Dewan. Semuanya seperti kosong dan sunyi. Mereka seperti menabur racun secara senyap di muara sungai-sungai kita. Tentu kamu tahukan? Selambau yang direntangkan di Sungai Bunut, Sungai Tinjar dan Sungai Teru tak dirempuh sekerap dulu kelibat Seluang dan Baung. Apa yang ada di dalam selambau itu hanya sisa sampah-saraf yang melekitkan. Sisa pencemaran yang sepatutnya tak berlaku di sini!” Dia seperti puas bila apa yang terbuku di hatinya dihambur keluar dari seluruh busaran hatinya. Dia mahu Dewan faham, mengapa dia beriya-iya benar menolak apa saja yang berlaku di Loagan Bunut ini daripada proses pembangunan yang sudah pasti menidakkan serta melenyapkan ketenangan dan ketenteraman di sini. Ketenangan dan kedamaian hutan peninggalan leluhurnya selama ini yang harus dijaga daripada dimusnahkan.
“Kamu harus tahu, di sini terlalu damai untuk dinodai segala kebeningan itu. Di sinilah anak-anak Baung dan Seluang bermain dan terus masuk ke dalam rentangan selambau, lalu dimasak rebus sebagai pembuka selera. Tentu kamu masih ingatkan, emak kamu yang merebus pucuk-pucuk muda untuk dijadikan sayur manis digaul sama Seluang dan Baung serta dicampur dengan umbut. Tentu kamu tak lupa semua itukan?”
“Tapi bapa harus ingat. Kita harus berani menempuh arus kemodenan itu demi anak peribumi di Loagan Bunut ini. Kita harus melihat ke hadapan dengan perspektif yang telus dan kontras, bapa.” Lontaran kalimat Dewan terus meresap ke nurani seorang lelaki yang sekian lama trauma dengan bentuk perubahan yang dahulunya sunyi dan bening, kini mula bingit dan hiruk-pikuk dengan ngauman beberapa buah gergasi besi kuning yang tidak pernah mengenal lelah itu. Ada yang masih terhenjut-henjut bergerak di lereng bukit, seperti menanti dan menanti kelalaian serta kealpaan pemandunya yang berwajah cengkuas dan kasar.
Dan dia masih ingat lagi, ada sebuah gergasi besi kuning yang tercampak ke kaki gunung yang hampir setengah digondolkan. Dan dia mengulum senyumnya, bila sesetengah daripada warga peribumi di Loagan Bunut percaya, bahawa yang menggulingkan gergasi besi kuning yang agam dan berat itu, seekor jembalang Bunut. Jembalang yang tidak sukakan arus kemodenan di Loagan Bunut, getusnya sambil tersenyum. Ungkit mengalih posisinya dengan lebih selesa, dia lalu berkahak bila rekongnya berasa rengat dalam cecair lendirnya yang berlekit kehijauan itu terkumpul dalam mulut lalu dihamburnya keluar. Ada yang melekat di pipinya bila lekit lendir yang dihamburnya tidak sejauh yang diharapkannya.
Dia merenung satu persatu jejeran pokok-pokok kayu yang mencuar ke langit dan dia sendiri sudah terlupa nama pokok tersebut, tidak seperti sebelum ini ambil saja daun kayu yang gugur di banir atau di akar atau di pangkalnya, malah tanpa mendongak dia dapat mengenal pasti spesies dan jenis pokok tersebut, tapi tidak untuk detik dan ketika ini, dia menjadi pelupa, bahawa apa yang ingin dikecapinya selama ini bakal sirna dalam sekelip mata. Apa yang dimimpinya saban malam bakal berlaku satu titik perubahan yang tidak diingini leluhurnya.
“Tanah hutan Loagan Bunut harus dijaga asal-usulnya daripada dinodai arus pembangunan, Ungkit. Sebagai warisan Berawan tempat ini harus seperti sediakala dan tanpa ada pencerobohan. Dan kedamaian dan ketenangan di sini harus dipertahankan, Ungkit.” Dan kalimat itu terus mengujanya. Kalimat yang tidak mungkin lenyap begitu saja tanpa penjuangan untuk menjaga keaslian warisan yang tidak ternilai itu.
Di hujung gunung-ganang di sebelah utara antara Sungai Tinjar dan Sungai Teru sudah kedengaran hiruk-pikuk suku kaum Iban dan Penan merungut, bila hutan yang selama ini memberi kehijauan dan kehidupan mereka bakal musnah dalam arus pembangunan yang tidak mengenal ampun itu. Arus pembangunan yang seperti ledakan tsunami itu seperti berombak di dada lelaki itu. Lelaki yang sekian lama mengenal dan mencintai hutan sekeliling dengan rasa yang tulus dan bening.
Kerisauan lelaki yang bermata sedikit mengecil dan berwajah empat segi seperti ada herotan di keningnya, bila debaran yang bergumam di dadanya bakal diletuskan sedikit waktu lagi. Dia benar-benar berasa tercabar dan dicabar, bila soal kehidupan suku kaum Berawan dipersoalkan oleh orang-orang yang gelarnya Tauke Jr dan kewajaran itu harus ditidakkan.
Bukan dia hendak menolak kebenaran tentang pembangunan di kawasan yang sekian lama tertinggal dalam arus kemajuan, tapi dia kesal dengan sesiapa saja termasuk Tuan Do yang persis bernafsu binatang yang bertaring serta bermuka muncung itu tertawa memanjang bila hutan yang selama ini gemersik dengan kicauan fauna bertukar dalam bentuk muzika yang membunuh kebeningan, membunuh ketenangan, membunuh kedamaian. Muzika kemodenan yang menghancur luluh hati kecilnya. Dia seperti kehilangan semua titik kebeningan dan ketulusan bisikan hutan yang mengepunginya selama ini. Dia seperti kehilangan segalanya tentang hutan.
Semua itu tidak dirasai oleh orang lain, tapi dia. Dia lelaki hutan yang terlalu percayakan semua kedamaian dan ketenangan hadir daripada zat dan roh hutan. Zat dan roh hutan yang harus dipertahankan daripada lenyap begitu saja, itu amanat leluhurnya. Leluhurnya yang sekian lama terbenam dalam susuk agam lejeng di Pulau Bukit Tengah, Sungai Bunut dan Sungai Buran. Lejeng leluhurnya yang mungkin ikut musnah dengan hunggisan dan cakaran kuku gergasi besi kuning itu. Semua itu terus bercempera mengheret gelodak rasanya.
Sinar mentari mula menerbitkan bahang yang meruap tubuh Ungkit. Dia berdiri sambil tangannya menekan lutut. Matanya melingas melihat sekeliling, tapi apa yang ingin dicarinya sirna. Bunyi dan kicauan binatang seperti terhenti seketika, bila pendengarannya hanya menangkap desiran angin yang menderas sesekali, lalu menggerakkan daun-daun pokok yang meminggir terus bau dan roh hutan yang sekian lama dihirupnya dengan tenang.
“Hendak harapkan darah daging sendiri untuk memperjuangkan hak dan kaum Berawan, tapi apa yang kudapat hanya….entahlah.” Dia memegang kejap akar yang menjejeri disisinya untuk menyokongnya berdiri. Matanya masih melilau serta pendengarannya seperti mencari-cari kicauan atau racauan menjauh binatang hutan seperti Khinzir, Rusa, Kuang Raya, Kera, Napuh, Tupai, Ungka Tangan Hitam, Bulbul, Kelelawar, Bangau, Pucung, Helang, Pekaka Belukar, Kenyalang, Layang-Layang dan Musang Pulut. Namun semua itu seperti menghilang dalam sekelip mata. Semua yang merasi dalam pendengarannya sekian lama sudah tidak kedengaran lagi. Semuanya mati dan sepi. Hutan yang dilaluinya kini seperti tempat meletakkan lejeng di puncak bukit. Hening dan berkabung.
“Jangan kata nak melihat kelibat Napuh, Ayam Hutan pun susah. Memang aku sedar selama ini orang-orang Tauke Jr tu memang tak berhati perut langsung, sewenangnya memperalatkan kaum Berawan, Penan dan Iban untuk menjayakan muslihat mereka, demi kepentingan peribadi serta ringgit yang banyak menyusup dalam kantung hidup mereka.” Dia seperti mendengar semula kata-katanya sendiri, bila hatinya sedih dan sayu dengan apa yang berlaku dan terus berlaku di Loagan Bunut, tempat leluhurnya meneruskan kelangsungan kehidupan, tapi kini semua itu seperti diserang Garuda. Loagan Bunut persis kehilangan sesuatu yang bermakna dalam hutannya.
“Tapi bapa harus menerima pembangunan ini. Tauke Jr dan Tuan Do tu nak membangunkan Loagan Bunut ini untuk dijadikan salah satu tempat khazanah yang tercantik di Asia Tenggara.” Gema suara Dewan menyusup kembali mengusik ingatannya. Desing kalimatnya menujah minta ditafsirkan dengan jujur dan rela hati. Tujahan kalimat yang tidak pernah memahami kehendak hati lelaki tua sepertinya.
“Itu kata kamu. Tapi jika mereka memusnahkan kehidupan kaum Berawan, Penan dan Iban di Loagan Bunut ni. Satu hal yang harus kita tahu Tuan Do dan Tauke Jr tu seperti ada perjanjian yang kita tak sedar muslihat mereka. Mereka sewenangnya memperdayakan anak-anak muda kaum Berawan, Penan dan Iban untuk menjayakan misi puaka mereka. Misi yang menguntungkan mereka, tapi merugikan warga peribumi di Loagan Bunut ini!” Bersitan itu seperti ngauman gergasi besi kuning yang merobek, meradak dan menghunggis bongkah demi bongkah akar dan banir pokok tanpa mengenal ampun. Semua pokok-pokok yang dirobek, diradak dan dihunggisnya terkongkang menyerbam bumi dan menanti tarikh kekeringan.
“Kita tak dapat menolak semua itu, bapa. Kita hanya kaum minoriti di sini, dan kawasan kita telah diwartakan sebagai tempat Taman Negara yang melibatkan hak dengan pihak luar negara yang akan memberi ruang dan peluang kepada warga peribumi di sini untuk lebih terjamin dalam merentasi arus globalisasi.”
“Itu tanggapan kamu, tapi tanggapan dan pemikiran Tauke Jr tu lain. Dia melihat kelemahan kita untuk mereka menodai gadis-gadis di Loagan Bunut ini untuk melangsaikan nafsu mereka. Kamu bukan tak tahu, di hutan di sebelah gunung tu, sebuah pub yang telah membuat onar untuk memberi malu kepada kaum Berawan, Penan dan Iban di sini.” Ungkit berasa puas, bila dia dapat meluahkan apa yang bergelut dalam dirinya kini. Memang untuk menafikan hak dan kehendak semua orang dia tidak mampu, tapi sebagai warga kecil di Loagan Bunut, dia harus mempertahankan tanah warisan leluhurnya daripada segala arus kemodenan yang seperti juluran lidah ular besar dari puncak gunung. Bukan dia tidak mahu pembangunan yang sering diaur-uarkan semua warga peribumi di Loagan Bunut, tapi biarlah erti pembangunan tersebut tidak menghilangkan identiti bangsa dan kaum yang kecil di muka bumi ini.
Semua itu terus bergelut dalam dirinya. Semua yang berlaku hari ini seperti luncuran anak sumpit yang bersalut getah ipoh. Dan luncuran anak sumpit itu seperti dihembus dari mulut nipis anak lelakinya sendiri. Dan Dewan tidak seperti anak gadisnya, Seluna yang telah mengangkat martabat kaum kecil Berawan yang berjaya meletakkan maruah leluhurnya ke tahap pemikiran yang jauh dan bersifat sezaman.
Anak gadis yang pernah disuapnya dengan pucuk muda dan meratah masak ikan rebus dari Sungai Bunut. Seorang gadis yang merengkek manja teringin mengecapi daging Napuh bila bulan mengambang penuh menyilau warna perak dalam ketenangan Loagan Bunut. Berlainan dengan prinsip Dewan. Semua nostalgia itu terus bergelut dalam dirinya.
Ungkit terus meredah denai hutan yang sekian lama rasi dengannya. Hutan yang banyak memberi kehidupan yang paling indah dalam kehidupannya. Meskipun selama ini dia seperti menjadi bahan perbualan warga peribumi di sini, dia lelaki yang terlalu keras mendidik anak-anaknya. Namun semua tanggapan itu sirna, bila kedua-dua anaknya telah mengenal dunia pendidikan yang sering dipertikaikan selama ini. Seluna anak gadisnya yang selalu menemaninya menyusuri tebing Loagan Bunut dalam sinar pagi, seperti cintanya pada tanah leluhur yang tidak mungkin dibiarnya dalam kemusnahan oleh arus pembangunan yang sering dilebelkan, seperti ngangaan mulut Tauke Jr yang rakus dan tidak pernah memahami makna kedamaian dan ketenangan. Semua itu mengacah-acah dalam kemelut dirinya.
Dia lalu menyusuri tebing Loagan Bunut, sebelum dia menuju ke rumahnya. Sesekali dia menoleh ke tengah tasik yang beriak kecil yang menerbitkan kemilau cahaya, bila kumpulan kecil Pepatung menjamah gigi air menyambar plankton yang timbul mengepung tirusan daripada pembalikan arus cahaya. Dia memikirkan di mana destinasi warga peribumi di Loagan Bunut selepas ini, jika penguasaan dan rasa tamak serta haloba Tauke Jr tidak dapat dikekangi lagi. Tapi siapa yang mampu membatasi rasa angkuh dan kekuasaan lelaki bermata sepet itu di Loagan Bunut. Malah penguasaannya, seperti dipersetujui Tuan Do yang seperti bertopengkan kuasa peribadinya itu.
Ungkit menoleh semula ke tengah tasik yang seperti mengamit nalurinya. Dia seperti melihat semula susuk seorang perempuan yang selalu menemaninya mengangkat selambau dan susuk perempuan itulah yang selalu bersamanya melalui denai kehidupan yang tenang dan damai, tapi semua itu menghilang dalam sekelip mata. Hilang tanpa direlakan hatinya. Hanya lejeng perempuan itu menandakan dia telah pergi selamanya. Dia terus dipasung ingatan. Ingatan yang selalu diigaunya saban malam ketika dia terjaga dari tidurnya. Ungkit sedar, dia harus menerima semua itu dengan kerelaan hatinya, baginya biarlah pembangunan Loagan Bunut pembangunan yang bermaruah yang terus mengekalkan bentuk alam semulajadi tanpa pencemaran.
“Aku hanya mahukan ia kekal seperti semulajadi. Itu amanat leluhurku supaya Loagan Bunut tak harus diubah daripada bentuk asalnya. Di sinilah harga maruah lelaki Berawan ni, di sinilah maruah kami yang harus kami pertahankan!” Dia tidak sedar bila kalimat itu seperti menguja dalam dirinya semula. Dia berasa tidak sendirian melalui semua ini kerana kelibat seseorang yang memahami seperti berada dekat dengannya. Ungkit menoleh memerhati kejauhan gunung-ganang yang agam dan malar hijau itu. Dan dia tahu, di sebalik rimbunan dan redup gunung-ganang itu seseorang sedang menantinya dalam lejeng. Lejeng seorang perempuan yang dirinduinya sekian lama. Dia melangkah longlai menuju ke rumah dalam rebasan angin menderu memeluk susuk tubuhnya.

0 comments: