Thursday, January 28, 2010

fragmen cerpen terbaru; Neurosis

DATO’ DER masih bersandar lesu pada sofa empuk di pejabatnya. Sesekali pandangannya dihalakan keluar dari tirus telusan kaca jendela. Percikan cahaya halus yang telus itu mengepulkan cahaya silau sebelah ruang pejabatnya, lalu menghangatkan sedikit ruang yang sedia ada. Meskipun penghawa dingin jenama York menderam lembut. Dia masih melayan renungan jauhnya memerhati jejeran pokok-pokok di seberang jalan yang terliuk-liuk disapa rebasan angin. Namun perhatiannya tidak fokus dan tenang, seperti apa yang diinginkannya. Jiwa dan nalurinya dijalari sulur keresahan yang terus membelitinya. Membelitnya sehingga dia berasa seperti direngkuh.
Dia berengsot posisi di atas sofa yang masih ada kesan lekuk pada tempat asalnya tadi. Sesekali dia bersandar merenung sekeliling, kemudian tertumpu pada gambar keluarganya. Agak lama dia memerhati wajah ceria di dalam lakaran tersebut, dia seperti terbias dengan apa yang berkerumun dalam sarat mindanya. Dia bergelut dengan frasa konflik yang menjerumuskannya ke ruang katarsis, tentang masa depan kerjaya dan statusnya sebagai tokoh politik yang berpengaruh dan disegani di negeri ini. Dan apa yang berlaku telah memberi pandangan negatif terhadapnya secara mendadak dan tuntas. Dia berasa semua khayalak sekelilingnya, seperti memperli dan menghina kewibawaannya selama ini.
-Terlalu prejudiskah aku?- Tuturnya, seraya mengalih pandangan lesunya pada ruang pejabat yang bisu dan kaku. Dia mengosok-gosok dua-dua telapak tangannya untuk menerbitkan haba panas, seraya menekapkan ke pipinya berulang-ulang kali. Sedangkan lingasan matanya hampir menerawangi seluruh ruang pejabat. Namun dia tidak dapat menghalau jauh-jauh rahang keresahan itu. Rahang keresahan yang sentiasa mengngangakan untuk mencekup dan mencekiknya. Dia terlalu takut situasi tersebut. Situasi yang sering menjejeri mimpi-mimpinya saban malam.
-Dato’ kena tahu situasi yang berlaku, dan anggaplah ia sebagai justifikasi yang terpinggir, jika alibi Dato’ negatif, sudah pasti apa yang berlaku ini akan memudaratkan Dato’, dan jika ia berlaku, sudah pasti Dato’ ke tali…-
-Diam!-
Dan bersitan kalimat itu terus bersesak-sesak dalam dirinya. Dia cukup mengerti apa yang peguam peribadinya katakan adalah benar, kerana jika alibinya yang meletakkan kesalahan kes tersebut negatif, maka dia sendiri akan terjebak dan disabit kesalahan mandatori. Namun dia cukup positif akan terlepas daripada tuduhan itu. Bukankah dia ada peguam yang terbaik untuk menangani kes iseng-isengan itu. Dan sarat harapan itulah yang diinginkannya berlaku. Dia tidak tahu, kenapa dia begitu teruja sekali untuk melenyapkan seseorang yang pernah menjadi suri dalam kehidupannya. Seseorang yang telah berubah dengan perlakuan yang membosankan, malah dia ditutur dengan kalimat yang terus menyakiti hati kecilnya. Dia dituduh sebagai seorang pesalah yang tidak ada pembelaan.
-Kita kahwin, sayang?-
-Kahwin?- Dan Dato’ Der berasa haba kehangatan sentuhan lembut Bella seperti sekam bara yang membahang rasa puncak kelelakiannya, ketika bermulanya musim semi kudup-kudup Sakura di Okinawa awal April, dan melalui malam pesta Hanami yang cukup menggembira dan mengasyikkan. Mereka melalui fiksi fantasi yang diimpikan semua manusia, persis ruang kemesraan yang tidak mungkin dapat dipisahkan lagi. Mereka telah meletakkan kepercayaan yang melebihi tahap maksimum, bahawa cinta dan kasih sayang sukar untuk dipisahkan, hanya detik kematian sahaja yang dapat meleraikan semua itu. Hanya itu, dia mengingati segalanya.
Dato’ Der sedar, dia sudah meninggalkan jauh apa yang dikecapi bersama isteri dan anak tunggalnya. Dan dakapan manja serta haba daripada ruapan usapan Bella sudah menjarakkannya daripada aroma rasa kasih sayang yang terbina sekian lama. Namun semuanya sirna. Beku dan kosong. Dia terus terpinggir untuk mengulangi semula nostalgia indah itu dalam dimensi seorang perempuan yang gelarnya seorang isteri. Malah, dia pula dikatakan mengada-gada dalam tutur yang lancip menguris hati nuraninya. Dia terus digeluti sunyi dan diam, seraya menghitung diari seorang lelaki yang dukalara. Diari seorang suami yang sepi maha panjang dan kosong segala-galanya.
Kehadiran Bella dalam hidupnya, nyali kesunyiannya mula sirna, setelah sekian lama dia dirasuk makna daripada kekosongan. Kosong nilai cinta dan kasih sayang yang dia berhak memilikinya, setelah apa yang berlaku cukup membuat dia membenci semua insan yang bergelar perempuan, dan ritma Winter Sonata yang paling digemarinya sedikit waktu dahulu, sudah bertukar menjadi matahari yang mampu membunuh rasa berahinya, tidak seperti ketika dia mula-mula mengenalnya. Dia ingin menghumban jauh-jauh perasaan tulus-mulus itu. Melontarkan dari lubuk hati nuraninya. Saban musim dia diterkami trauma. Malah dia menjadi pembenci yang kronik pada semua jenis muzika. Muzika yang seperti luncuran ombak dingin yang menirus pembuluh nafasnya setiap detik. Muzika yang begitu memeritkan. Dia ingin melenyapkan semua itu dalam hidupnya. Itu ikrarnya. Rentasan fantasi yang keliru serta menakutkan itu, dia mengacip kedua-dua bibirnya lalu melayahkan beberapa kali mata pisau pemotong daging yang sempat dicapainya di ruang dapur. Buncahan rasa kebenciannya pada seseorang yang pernah menerima cinta pertamanya naik ke sarafnya, lalu membuncah, menggelodak, persis ledakan gunung berapi yang sekian lama menderam, membuakkan lahar-lahar amarah yang maha tragis. Segalanya terhambur tanpa bersisa. Dan kelibat perempuan di birai matanya, mula menjelma menjadi seekor makhluk yang berwajah hodoh yang amat menakutkan, mengerikan, malah mampu menghentikan cungapan nafasnya secara drastik. Dia menjadi begitu teruja bencinya terhadap susuk tubuh yang berisi itu. Dia tidak mengerti, mengapa hatinya beku dan kosong, bila bersua dalam situasi yang cukup getir dan perit itu. Genggaman tangannya terketar-ketar.

2 comments:

MARSLI N.O said...

Sdr Dahiri: Kalau belum disiar di media, tak takut dijiplak nanti?

dahirisaini said...

tn marsli; tak apalah...lagipun hanya suku saja saya siarkan hehehe..tkasih prihatin.