Friday, November 26, 2010

cerpen Genetik cuplikan dri kumpulan cerpen; Namanya Tsunami


DEMI Tuhan yang maha berkuasa sekalian alam ini, bahawa kebenaran tetap kebenaran dan kesalahan sememangnya kesalahan! Demikianlah, kalimat itu bergema dalam jiwa raganya sehingga membekas ke detik ini, dan selamanya ia terus membusar menjadi kesumat yang menganakbiak dalam sanubarinya.

Dr. Dusai mengingati semula lelaki yang bersusuk tinggi lampai, berkulit cerah dan beriras lelaki kacukan Belanda Cina beberapa minggu yang lalu. Memang sekali pandang lelaki itu persis pelakon dari tanah seberang, Ari Wibowo ketika zaman remajanya. Lelaki yang cukup segak itu, seperti penjelmaan spesies raksasa kecil yang bijaksana menukar warnanya pada persekitaran.

Dr. Dusai seperti terbias semula bila tangan kanan lelaki itu diangkatnya, sedangkan tangan yang di sebelah lagi memegang senaskhah al-Quran. Kumat-kamit bibir nipis lelaki itu persis memperlinya, mencabar kewibawaannya, menguji kekentalan imannya. Namun semua itu seperti halilintar yang sirna dalam terjahan angin tenggara di sebalik dinding alam. Lenyap tanpa bersisa sekalipun benaknya membuncah, namun dapat disabarnya dengan zikirullah bersama kacipan nafasnya yang sedikit tercungap dalam menghafaz juzuk demi juzuk surah penenang jiwa raganya. Memang apa yang telah berlaku bukan boleh menggembirakan semua orang, kerana setiap tamadun manusia itu sendiri menciptakan kebobrokan peribadi dalam bentuk apa sekalipun. Kebobrokan yang sudah pasti menjadi inti untuk sesiapa saja tertarik dan membuat pelbagai spekulasi yang peribadi sifatnya.

Dr. Dusai seperti terperangkap dalam muslihat peribadinya pada khalayak yang telah menjadi panel penilai apa yang berlaku. Pada minda masyarakatlah yang bijaksana menilai mana yang baik dan buruknya. Dan bersitan itu persis ngauman serigala yang terus bergumal dalam dirinya, lalu melancip segenap rongga susuk tubuhnya. Namun lancip kalimat yang dilafazkan lelaki setampan itu, seperti lancipan sang ular yang berbisa sekali menyerap dalam imun tubuhnya. Namun imunisasi kekentalan iman yang ikhlas itu mampu menangkis, kemudian sirna dalam mimpi angan-angan empunya diri. Demikianlah, ia berakhir secara perlahan-lahan dan sirna dalam arus kebaculan tamadun itu sendiri. Dr. Dusai menelan semua itu dengan kejengkelan dengan pelbagai tuduhan dan tanggapan fitnah terhadapnya.

-Lebih baik menjadi spesies berdarah dingin itu kerana ia boleh menukar warna pada kulit jika ia dalam terdesak. Lagipun, spesies tersebut bukan spesies yang boleh dibuat main-main, silap haribulan ia mengeluarkan taringnya yang tirus tajam itu ke nadi lengan. Dan padahnya, pasti terkoyak kulit dan isi. Bukan setakat itu saja, kesan sakit pada tusukan taringnya pasti memudaratkan sehingga berbulan-bulan lamanya membengkak dan bernanah.- Itulah kalimat yang bergelumang dalam dirinya. Kalimat yang mengerumun ruang mindanya yang sukar sekali disirnakan, meskipun seketika. Apa yang pasti, kalimat itu terus menggumam dan mengeram dalam cepu sanubarinya tanpa noktah.

Kalimat seseorang yang begitu akrab dengannya beberapa tahun kebelakangan ini. Tapi mereka tidak pernah bertemu lagi selepas beberapa bulan. Mereka terpisah kerana tuntutan rutin tugas yang berbeza sekali. Tuan Summ, seorang lelaki yang cukup bijaksana dalam bidang ekonomi yang memiliki aset yang melibatkan dasar pemerintah. Malah aset yang sekian banyak itu telah menjeratnya dengan posisinya yang cukup getir sekali, dan lelaki separuh abad itu telah diseret dalam kemelut kes pembunuhan warga asing yang berpengkalan di negara ini, dalam kos pembelian senjata dan alat peperangan untuk negara-negara maju.

Semua itu memang sukar untuk difikirkan dalam kebaculan dunia politik negara yang seperti penjelmaan tangan-tangan agam yang hendak mencengkik leher. Malas Dr. Dusai mengambil peran dengan apa yang berlaku. Dan dia yang arif dalam bio-genetik sekadar memenuhi tuntutan minat dan kepakaran untuk melihat perkembangan biologi manusia dan tamadun masa kini. Itu sarat harapannya semoga apa yang ingin dipraktiknya selama ini menjadi positif. Bukankah manusia itu diberi kebijaksanaan yang pelbagai? Persoalan itu terus menjadi ikon dalam dirinya.

-Memberi khidmat sebagai pencipta bio-genetik memerlukan ketekunan berfikir tentang biologi manusia dan asas tumbuhan. Kita hidup di muka bumi ini pun memerlukan tamadun dan asas tumbuhan untuk membiaskan kita kepada bentuk persekitaran dan haba yang diperlukan. Kalau tak, kita akan terhakis daripada warna kehidupan dalam diri kita selama ini. Lagipun, tamadun manusia itu sendiri tercerna daripada proses pertumbuhan, seterusnya membentuk proses fizikal yang sepatutnya.- Luncuran lidahnya seperti berpasir halus. Dr. Dusai tahu, dia tidak wajar menilai semua itu kerana jika bersua, mereka sering bertelagah tentang bidang yang amat berbeza sekali. Bio-genetik dan ekonomi jurang yang ketara, namun nilai persahabatan membancuh semua itu dalam keakraban.

-Tak Dr. Dusai, walau apa pun kita memerlukan tahap percaturan ekonomi yang stabil untuk membentuk tamadun manusia itu. Bukankah faktor ekonomi memberi kita definisi yang jelas dalam perjalanan kehidupan kita, kerana tanpa ekonomi kita pasti dibeliti kemiskinan. Kita terpasung dalam arus ketinggalan dalam semua hal. Dan yang lebih parah lagi negara kita akan pincang, jika dasar ekonomi kita lembab!- Dia sempat melihat wajah yang sedikit berminyak di dahi dan hidungnya ketika itu. Seorang lelaki yang sudah pasti mempertahankan kepakarannya. Kepakaran penjanaan ekonomi yang berada di hujung jarinya saja. Kata lelaki itu, persis seperti mengunyah sekeping coklat berperisa walnut. Enak dan menyelerakan.

Dr. Dusai tidak pasti, kenapa dia sendiri terheret dalam destinasi yang sekian lama disirnakan dalam mindanya kerana dia tahu, sejak mereka berpisah sudah pasti tidak bersua lagi, kerana lelaki itu sudah meninggalkan wilayah negara ini untuk berhijrah ke negara yang lebih maju. Negara maju yang memberi kebebasan berfikir dan mencatur kepakarannya. Bukan seperti di sini, negara yang dikecam sebagai negara yang penuh bioraksi dan prejudis terhadap apa saja yang melibat kepentingan peribadi. Semua itu cukup membuat lelaki itu sedar, hidupnya di sini seperti terpasung dalam biasan dimensi dunia separa robot. Perlu diarahkan mengikut kehendak serta kepentingan sendiri. Dia menyedari semua itu, tapi apa daya kudratnya tidak mampu untuk menegakkan kebenaran, demi survival kehidupannya yang memerlukan kelulusan sebagai marga yang merdeka dan merdeka dalam pasungan. Dia terus mengulum perasaan itu, meskipun dia tahu, lama kelamaan tabiat itu menternak kebodohan dan ketololan peribadi.

-Saya meninggalkan negara merdeka ini kerana saya tidak mahu digelar spesies seperti sesumpah, Dr. Dusai. Spesies yang gelarnya suka pada perubahan alam sekitarnya jika dalam terdesak- Ujaran itu bergelut dalam basah ketawa yang memanjang. Dan mereka saling berdakapan. Menepuk bahu masing-masing selepas kedua telapak tangan mereka mengeluarkan haba kelembaban.

-Bukankah sebelum ini tuan ingin mengabdikan diri tuan kepada negara ini. Jadi kenapa tuan seperti menolak kebenaran itu. Bukankah tuan pernah berkata, kebenaran tetap kebenaran dan kesalahan tetap kesalahan.- Dr Dusai seperti begitu teruja sekali ingin menungkas dalam berkias. Tapi dia tidak mendapat respon yang diharapkan. Lelaki yang bersusuk agam berkulit kuning langsat itu menampakkan lesung pipitnya serta barisan giginya tersusun dan bersih, meskipun dia sedar, lelaki itu terlalu tua untuk memilikki semua itu. Terlalu tua untuk memilikki kesihatan yang amat jarang sekali pada usia begitu. Namun lelaki yang digelarnya tuan itu hanya tersengih sambil menepuk semula bahunya. Tepukannya lembut dan berseni sekali, seraya dia sempat berbisik dalam kuluman kalimat yang sukar ditangkap butir bicara, tapi jelas dan satu persatu kalimat menyendat pendengaran Dr. Dusai. Kalimat yang memenuhi setiap cepu dalam pemikirannya.

-Saya telah disabitkan kesalahan yang menjebakkan saya sendiri. Ya, perangkap yang saya pasang, rupanya tak mengenal tuannya sendiri.- Herotan di dahinya cukup membuat Dr. Dusai sedar, bahawa tekanan bioraksi cukup mendera lelaki itu, desisnya. Begitu tergamak sekali tamadun manusia di jagat ini yang telah meletakkan status manusia itu ke tahap yang hina dan naïf.

-Bukankah tuan sudah sekian lama memberi khidmat untuk negara ini. Tuan telah memberi nafas ekonomi negara ini? Setidak-tidaknya tuan mendapat keampunan dari mereka. Tuan berhak membela diri tuan daripada pasungan kesalahan itu.- Kalimat Dr. Dusai bergema dalam kuluman luncuran suara yang sengaja dikendurkan atonasinya. Mata mereka bertembung seketika.

-Itu kata awak, Dr. Dusai. Lagipun, prestasi saya yang cukup licik dan bijaksana itu diperlukan untuk penerus generasi masa datang. Bukankah penerus itu harus melalui apa yang pernah saya lakukan sebelum ini. Jadi, saya terpaksa menjadi salah seorang daripada dejavu kebenaran itu demi negara merdeka ini. Pengorbanan ini harus menerima geruhnya, Dr. Dusai.- Perlahan-lahan kalimat itu bergelut dalam dirinya. Kalimat yang seperti terus menguasai diri tanpa berjeda.

-Jadi tuan tak mahu tergolong dalam spesies yang unik dan pelik itu? Tuan wajar menjelma menjadi spesies yang bijaksana menukar warna itu, demi kelangsungan kehidupan ini. Tuan berhak mendapat keampunan kerana jasa tuan pada negara selama ini. Itu yang relevannya.- Lelaki itu mengangguk perlahan sebelum mereka merasa haba susuk tubuh mereka beberapa ketika. Dan lambaian tangan lelaki yang sedikit bergetaran itu cukup memberitahunya, bahawa lelaki itu bukan seperti lelaki yang dia kenali lagi. Dia benar-benar dalam belenggu yang mencengkam seluruh jiwa raganya. Kerjaya yang menjadi minatnya yang sekian lama telah memasung dirinya. Dia menjadi seekor makhluk yang bersisik dan mampu menukar warna itu dalam beberapa ketika saja. Seekor sesumpah yang ikonnya seperti Iguana mampu melenyapkan apa saja maklumat kesalahan seseorang hatta dirinya. Demikian yang dia dengar tentang lelaki tersebut. Arif dan bijaksana mengeliru dan menciptakan muslihat untuk melepaskan kunci penjajahan mengurunginya sekian lama.

Kebenaran tetap kebenaran. Dan tiada apa yang mampu menukarkannya kepada kepalsuan. Dia sedar dalam proses mengembangkan projek bio-genetik yang berkaitan biologi dengan asas tumbuhan, memerlukan keyakinan dan keupayaan diri yang bukan calang-calang orang boleh melakukan. Emberio spesies yang melibatkan pemindahan genetik sesumpah dan asas tumbuhan memerlukan kecekapan mencipta dan membuat keputusan. Dia sedar, semua itu harus meletakannya dalam kancah kekeliruan. Namun keyakinan yang tinggi telah memberi dia rangsangan untuk melakukan kemustahilan itu berlaku dan terus berlaku.

-Dr. Dusai, kita berjaya menukar genetik Iguana menjadi separa kacukan. Maksud saya, Dr. Dusai mendepani cepu pemikiran tamaduan manusia untuk melakukannya. Bio-genetik dan asas tumbuhan yang separa.- Kalimat Suzie pembantunya dalam makmal itu menyelinap secara drastik dan sirna kembali. Dia tidak sedar, bahawa kebenaran begitu mudah ditukar menjadi kepalsuan, seperti apa yang telah berlaku kepada lelaki yang cukup dikenalinya. Lelaki yang sekian lama mengabdikan dirinya kepada perjuangan negara, tetapi akhirnya melenyapkan sarat impian dan identitinya, demi kepentingan orang-orang besar yang mempunyai kelebihan. Orang-orang besar yang mengawal suis peribadinya dengan kunci bernama mata wang.

Dr. Dusai mula merasa kehilangan lelaki itu dalam kehidupannya. Lelaki yang banyak memberinya motivati untuk meletakkan perjuangan yang diimpikan semua warga negeri ini dalam memberi sumbangan yang besar. Dia benar-benar berasa ada sesuatu yang telah meletakkan kebenaran harus menjadi kepalsuan. Dan semua itu tidak mampu disangkal, hatta di mahkamah sekalipun.

-Dr. Dusai harus menerima penganugerahan itu. Dr. Dusai tak harus menolaknya, bukankah anugerah itu semua orang ingin memilikinya. Semua orang ingin mendapat gelarnya.- Seorang pegawai tertinggi menghulurkan surat bermohor diraja terjatuh ke lantai, kemudian menyisip di bawah tapak kakinya. Bukan dia sengaja menjatuhkannya, tapi getaran tangannya membuat dia tidak dapat memegang surat tersebut apabila dihulurkan kepadanya.

-Saya tak layak menerimanya. Masih ada orang lain layak menerima penganugerahan itu, tapi bukan saya. Percayalah.- Dr. Dusai seperti berbisik. Namun suaranya dapat didengar pegawai tertinggi itu yang terus merenung Dr. Dusai dengan perkiraan yang dominan. Terlalu pesimis lelaki itu, desisnya seperti ular yang menjulurkan lidah yang bercabang itu.

-Dr. Dusai harus menerimanya. Kalau Dr. Dusai menolak, saya takut Dr. Dusai…-

-Saya akan digantung? Begitu?-

-Taklah.-

-Jadi, kenapa bercakap seperti orang terbelit dengan pembelit itu.-

-Pembelit? Siapa pembelit- Sedikit gelisah lelaki yang berpakaian seragam di hadapannya.

-Taklah. Saya maksudnya keputusan pelantikan ini tak telus dan penuh biokrasi. Masih ada orang lain yang layak menerima anugerah ini. Seperti Tuan Summ.-

-Tuan Summ?- Sedikit meninggi suara lelaki di hadapannya. Dr. Dusai mengangguk. Lelaki pegawai atasan itu membulatkan bola matanya, bila nama Tuan Summ yang membawa diri ke luar negara terpacul di mulut Dr. Dusai.

-Apa yang tak kena dengan Tuan Summ? Saya percaya, dia lebih layak menerima penganugerahan tertinggi negara. Kredebilitinya dan jasa kepada negara terlalu banyak. Beliaulah yang menjana dasar ekonomi kita daripada kemiskinan. Beliaulah yang menukar bentuk matawang negara menjadi nilai yang digeruni semua negara maju, seperti Amerika Syarikat.- Dr. Dusai melihat lelaki di hadapannya ketika itu, seperti berdiri di atas pasir yang hangat. Keringat mula menitik di dahinya, meskipun wap penghawa dingin menyelinap dengan senyap.

Dr. Dusai sedar kini, bahawa dia telah disukai oleh panel penilai untuk penganugerah tertinggi negara yang bakal membawa gelaran Dato’ Bijaksana. Walhal masih ramai lagi yang layak menerima penganugerahan tersebut, tapi mungkin kalangan mereka tidak disukai atau ada yang begitu celopar mengkritik dasar yang sedia ada, sebab itu dia telah dipilih kerana sebelum ini dia tidak mahu tahu apa kepincangan dalam negara selama ini. Apa yang dia tahu, kajiannya tentang bio-genetik, itu saja.

Apa yang dilakukan sekadar untuk menyambung kehidupan yang serba mungkin. Memang untuk menafikan kelibatnya sebagai marga yang terkenal boleh dikatakan setiap minggu wajahnya terpampang dalam media yang mengatakan kesungguhannya mencipta bio-genetik dan asas tumbuhan, malah kajiannya banyak diperkatakan di universiti bukan saja di dalam negeri, tapi di luar negara yang telah memberi respon yang positif, bahawa kerjayanya, kerjaya baharu yang terdapat di sini. Bidang yang tidak pernah dibuat orang sebelum ini.

-Jadi betullah apa yang Dr. Dusai kaji selama ini perihal bio-genetik dan asas tumbuhan dalam memberi intipati yang jelas seperti hubungan biologi dan politik setara atau bias? Begitu?- Suara pembantunya bergema separuh perlahan menyelinap dalam kuluman senyuman. Dia ingat lagi kuluman senyuman Suzie pembantunya.

-Saya harus menilai sinigfikan bio-genetik dan asas tumbuhan dalam separa positif. Dan tak mustahil, kerana di negara jiran ada manusia pokok. Apa salahnya saya menciptakan segala kemungkinan itu, bila manusia di sini terbias dengan penyakit tersebut, kita sudah ada imunisasinya.- Dr. Dusai menelan penuh kepahitan apa yang berselirat di dalam fikirannya. Alur mindanya berharap apa yang diciptanya memberi reaksi yang positif.

-Takkan nanti ada orang politik kurang senang dengan kajian ini, Dr. Dusai? Maksud secara peribadi saya, mereka berasa terbias dengan apa yang dikaji Dr. Dusai.-

-Saya lebih percayakan apa yang saya kaji selama ini harus melihat perkembangan dengan imun manusia itu sendiri, yang lebih menjurus kepada faktor kegelisahan, bila sudah berada di aras yang tinggi, seseorang itu tak mahu turun lagi, meskipun pemikiran sudah tak relevan lagi atau bersifat ortodoks dengan apa yang berlaku masa kini. Mereka yang suka duduk di aras yang tinggi harus menerima nasib yang sama simptonnya yang menyerang manusia pokok di negara jiran kita. Apa yang relevannya, orang yang kerap risau dengan kejatuhannya, pasti risaukan juga dengan penyakit kronik manusia pokok itu.- Dr. Dusai mengulum senyuman bila dia mengingati kata-katanya kepada pembantunya.

Memang dia sengaja membuat pembantunya keliru dengan faktor bio-genetik yang diciptanya sekian lama. Dan gadis berusia awal tiga puluhan itu hanya mengangguk-anggukkan kepalanya, seraya memahami apa yang dilakukannya. Dan lebih menguntungkannya, dia beberapa kali merasa sari madu daripada kerekahan iman mereka dan gadis tersebut yang merelakan semua itu berlaku dan terus berlaku. Bukankah kebenaran dan kebobrokan satu persamaan yang tuntas dan jelas dalam penafian kesalahan itu? Desis Dr. Dusai. Sememangnya, kejelikan seseorang itu harus melihat kebenaran dan kesalahan yang sinigfikan.

-Jadi betul Dr. Dusai tak mahu menerima penganugerahan ini.- Lelaki yang masih terjegat di hadapan Dr. Dusai mengerling penuh harap. Sesekali kedengaran deringan telefon selularnya, namun tidak dihiraukannya.

-Saya berterima kasih kepada penilai yang memberi penganugerahan ini. Tapi untuk saya menerima penganugerahan ini amat berat saya terima. Lagipun, saya percaya masih ada orang yang lebih layak menerimanya daripada saya. Saya hanya seorang pengkaji bio-genetik yang memerlukan kepakaran saya tak dicuri oleh pemikiran bangsa asing untuk bahan kajian mereka.- Dr. Dusai melepaskan apa yang terbuku di hatinya selama ini.

Dan pagi itulah, tarikh keramat yang tidak dapat Dr. Dusai lupakan, bilamana sekeping surat juga bermohorkan di alamatkan kepadanya. Surat yang memintanya, ditukarkan ke destinasi yang terpencil dan asing dalam perkiraan geografi. Namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan apa yang telah terdidik dalam dirinya kini. Dan malam itu, Dr. Dusai melawat makmalnya untuk kali yang terakhir dan di telinganya terngiang-ngiang kalimat seorang sahabat yang telah pun berhijrah ke luar negara.

-Kehidupan ini harus diteruskan dalam apa cara sekalipun, Dr. Dusai. Tanpa kehidupan, maka hilanglah tamadun manusia itu untuk menyambung penerus masa lalu.-

Setiba Dr. Dusai ke dalam makmalnya, dia terpana dengan apa berlaku dengan bahan kajiannya selama ini. Balang kaca bersaiz 12 x 6 persegi yang diisi dengan benih pelbagai tumbuhan dengan baka genetik spesies sesumpah telah terbentuk menjadi pokok yang berkaki dan bergerak perlahan-lahan. Dia seperti tidak mengerti, apa yang tidak diinginkannya berlaku begitu mendadak sekali. Spesies sesumpah yang bertubuhkan pokok hasil kajian dan asas tumbuhan telah memberi aras yang positif dan aktif.

-Tak mungkin berlaku. Tak mungkin ia terjadi begitu tuntas dan pantas.- Kalimat itu sirna antara anak tekaknya yang bergerak cepat dan bongkol-bongkol halkum seperti ada sesuatu yang menganggu. Dia terus meluru ke biliknya dan sekeping cermin terbias wajahnya yang sedikit suram dan kosong. Dia mengundur semula untuk memastikan apa yang dilihatnya, hanya sekadar fantasi yang sering mengacah-acah dalam alur pemikirannya.

-Ya Allah, kenapa ia terjadi juga kepadaku. Apakah suntikan yang kuciptakan mula merasuk dan memasung diriku? Aku tak percaya apa yang berlaku!- Mendengar jeritan Dr. Dusai, pembantunya Suzie bergegas mendapatkannya.

-Kenapa dengan Dr. Dusai? Ya Allah, Dr. Dusai apa yang berlaku?- Suara Suzie melengking dalam bilik.

-Kau juga mungkin terbias dengan apa yang berlaku, Suzie. Lihat wajah kamu mula mengerutu.- Dr. Dusai bersuara perlahan, tapi lantunan suaranya dapat didengar Suzie. Suzie berdiri di hadapan cermin. Namun dia terpasung terus melihat biasan dirinya.

-Maafkan saya, awak. Mungkin awak tak sedar, bila saya telah mencampurkan ciptaan saya ke dalam minuman awak sebelum ini. Maafkan saya, awak. Maafkan saya kerana menjebakkan awak dalam konflik ini demi kepentingan bahan uji kaji ini daripada terjatuh ke tangan orang yang tak bertanggungjawab.- Dr. Dusai terus berlari keluar mendapatkan bahan kajian tadi. Apa yang berlaku sebaliknya, bila di hadapannya berdiri makhluk separa sesumpah yang berklonkan pokok menjulurkan lidahnya yang bercabang itu ke mukanya. Kesan kaca yang pecah berselerak di ruang itu sempat melukakan betisnya. Cecair hangat mengalir dibiarkannya. Lendir yang terbit dari perbuatan itu melekit ke wajah kerutu Dr. Dusai. Di biliknya, kedengaran tangisan histeria Suzie yang tidak percaya apa yang berlaku itu terbias kepadanya juga. Seluruh wajah yang gebu dan licin mula berkerutu dan membengkak.

-Saya bencikan Dr. Dusai! Dr. Dusai telah menipu saya selama ini, mengatakan apa yang dikaji selama ini tak memerbahaya! Tapi apa yang berlaku sebaliknya. Saya benci Dr. Dusai!- Namun lantunan suara pembantunya, Suzie sirna dalam deraman makhluk yang sudah pun mengunyah dengan lahap lengan, leher, serta seluruh tubuh mangsa di hadapannya. Hamburan darah segar memenuhi ruang memenuhi makmal itu. Namun kelibat makhluk yang bertubuh pokok itu terus mengomoli susuk tubuh Dr. Dusai. Dr. Dusai hanya mampu menyerah kekalahan itu dengan satu kemenangan dalam dirinya, bahawa klon dan benih asas tumbuhan mampu dijelmakan dengan bio-genetik yang pernah dipelajarinya di Harvard. Gomolan itu terus berlaku tanpa ada tamadun belas kasihan kemanusiaan.

Di luar hujan berserta guruh tiba-tiba bergema menenggelamkan jeritan histeria Suzie dan gumaman kepuasan dalam kesakitan Dr. Dusai, bahawa sumpahnya selama ini sudah memakan dirinya sendiri. Dan pendengarannya menangkap semula gema kata-kata lelaki yang sekian mengabdikan diri kepada negara ini, tapi sudah pun jauh dari kemelut yang memerangkapnya pula.

-Kadangkala hidup ini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk kita meletakkan harga diri kita ke tahap yang membanggakan. Akhirnya, kita memilih jalan yang terpesong dan memusnahkan sarat impian kita sejak sekian lama daripada menjadi manusia separa robot yang menerima bulat-bulat setiap arahan yang cukup memalukan dan membunuh tamadun manusia itu sendiri, Dr. Dusai.-

Dan gema kata-kata itu berculang-caling menerpa dalan tirusan kaki hujan di hujung atap yang mengerti segalanya. Segalanya, perihal apa yang berlaku tentang makhluk yang terus menghunggis, melapah, meragut apa saja yang ada berdarah panas di dalam makmal itu. Demikianlah.

Saturday, November 13, 2010

naratif drusa pge

REBASAN angin monson mengitari lanskap hutan yang malar hijau, hingga celahan daun-daun, pucuk-pucuk rumputan besar dan kecil, terliuk-liuk diredupi rimbunan, kemudian sunyi, tidak ada yang menerbitkan bunyi nyalinya. Bening dan usai. Hanya sarat bau segar dan basah, menerawangi setiap rongga dan lantai hutan, berbisik lancip penuh melankolik; Kami seperti diperkosa setiap detik tanpa rela!

Dari kejauhan sayup kedengaran luncuran deburan arus yang menggelonsor berat dan perit dari puncak gunung yang berlumut hijau likat antara juraian paku-pakis, daripada yang berdaun kecil sehinggalah yang berdaun besar, ber(se)lindung di sebalik konopi pokok Merbau, Merpinang, Meranti, Selangan Batu, Mersawa, Ramin, Jongkong, Merdang Buluh yang gah dengan cerakah jalaran akar pepehnya mencengkam pasak bumi. Kejap dan agam. Dan selirat jalaran akarnya, persis jabat tangan seorang Amam yang akrab memeluk anak lelakinya, sambil membelai mesra rambut kenjurnya, seraya berdoa penuh harap bersuara lirih; Selamatkan redup bening ini daripada malapetaka yang diciptakan rasa angkuh dan ego seorang lelaki yang teruja melaungkan anarki!

Dan lanskap hutan kecil berbalam hijau di pinggirnya, di situlah terdapat hampir seratus buah Lejeng yang diperbuat daripada teras kayu Selangan Batu dalam posisi yang sedikit condong ke arah lindap matahari terbenam yang sekian lama bersemadi, sebagai ingatan leluhurnya. Dan Lejeng itulah yang menjadi saksi adat bersumpah semenjak dahulu lagi, bahawa kehidupan harus melalui detik peninggalan waris tradisi yang sekian lama rasi dalam diri. Dan semuanya mengimpikan penuh harap dalam nyali sunyi dan diam suram Loagan Bunut. Lejeng lambang tradisi yang sukar untuk disirnakan, meskipun jalaran akar-akar pepeh pokok Merbau, Merpinang, Meranti, Selangan Batu, Mersawa, Ramin, Jongkong, Merdang Buluh mula mereput dan beralih musim.

Aku harus menceritakan naratif yang sebenarnya ber(se)lindung di sebalik hutan yang kian nazak ini, perihal kedaifan suku kaum Berawan dan Penan, persis puak Red Indian yang dipasung sengketa dan diamuk rasa kebencian yang membuncah, terhadap pencerobohan dan penghapusan etnik. Biarlah aku ceritakan perihal seorang lelaki paling terhormat dan disegani yang mengimpikan untuk menguasai seluruh negeri merdeka ini. Dia seorang yang cukup bijaksana dalam semua hal, apatah lagi dalam katarsis politik yang sekian lama merasi dalam dirinya. Katarsis politik yang turun-temurun yang terus diwarisi salasilahnya.

Dan kelibat Beruan yang berwajah cengkuas, bengis serta pendendam itu, bukti pengaruh negatif sudah meresap dan merasuk dalam emosi konconya itu. Dan Beruan akan melakukan apa sahaja arahan tanpa berlengah, asalkan ada habuan yang membolehkannya, mereguk tuak sehingga parak pagi sambil memeluk tubuh seorang gadis dalam hangatnya gelora di pub di tengah usus hutan. Dan seorang lelaki yang beroman segi empat tidak tepat itu, yang berambut sedikit kenjur lentur keputihan, persis penjelmaan seekor Majusi yang telah memberi kehidupan pada Beruan. Dan lelaki itu yang terlalu disanjung puja dalam apa sahaja acara yang melibatkan roh dan zat politik, menghakiskan bau segar dari hutan sebelah sini yang diredupi kedamaian dan kebeningan.

Namun semua itu hanya illusi yang panjang tanpa jedanya. Illusi yang terus memukau sukma marga dengan lakaran hijau yang mula pudar dan kusam. Hanya bahang meruap dan terus meruap. Dan sarat impian tenggelam dalam buncahan debur arus, persis bancuhan pekat kopi susu di muara Sungai Bunut, Sungai Teru sehingga ke muara Sungai Tinjar. Malah hiruk-pikuk sampah-saraf turut menjerit gelisah direntap rasa kesakitan teramat sangat; Kami teraniaya dan tercemar. Kami lemas dalam selut lumpur yang diciptakan! Namun jerit-pekik itu sekadar membuat lelaki itu mengherotkan senyum yang menampakkan beberapa batang giginya yang bersinar pelik, dan suis yang bersedia di tangannya, bila-bila sahaja untuk dia menekannya, malah bom jangka yang sekian lama dipasang dalam diri marga di Loagan Bunut, menanti untuk meletuskan lahar-lahar kepanasan, lalu membahangi kedinginan dan kesegaran di sini. Maka, bertempiaran yang bernafas mencari perlindungan yang perit dan akhirnya sirna, menjadi baja bumi di lantai hutan. Lengang dan senyap tanpa mulut. Itulah yang meresahkan aku. Aku tidak mahu hutan yang dahulunya damai dan bening mula diturasi anarki. Hutan yang meriah dengan keriuhan muzika fauna, seperti disumpah makna diam dan perlahan-lahan menjadi pembisu. Aku tidak rela ia berlaku.

Jika bukan aku menceritakan naratif ini, siapa lagi yang harus memberitahu apa yang sebenarnya yang telah berlaku semenjak sekian lama. Siapa lagi yang berani menegur kejengkelan, kerakusan dan kebiadapan lelaki itu, acapkali dia datang berambih ke sini untuk menemui seseorang yang paling dipercayainya. Seseorang yang sekian lama dituba dan dicanduinya dengan bau ringgit dalam ruai randaunya. Dan rekongnya yang dipenuhi dengan tuak terbaik dari aroma beras bukit; Pilih sahaja wap tapai daripada halia merah atau tebu, air jernih itu terus mengkhayalnya, memabukkannya, sehingga kelopak matanya dirangsang susuk seorang gadis yang merengek untuk dilanggani. Dan dia akan tersenyum, kerana rasukannya selama ini tidak pernah mengerut bujur keningnya.

Pemanca Aloh Lawei yang terus dirasuk dan dipasung kemewahan dari keringat suku kaumnya sendiri. Dialah yang membuka pintu seluas-luasnya kepada lelaki itu. Dialah pemuslihat yang bijak ber(se)lindung di sebalik kemiskinan kaumnya sendiri. Anak tunggalnya dapat melanjutkan pelajaran di luar negara, hasil daripada pertolongan lelaki tersebut. Sebut sahaja siapa yang tidak kenal lelaki yang terlalu berpengaruh dan berkuasa di negeri ini. Dunia korporat dan politik begitu amat sinonim dengannya. Dan empayarnya melangkui batasan kewajaran yang mustahil. Siapa berani menuding jari menuduhnya begitu? Siapa? Semuanya menjadi seperti sekawanan Memerang berekor merah. Lencun berlekit dalam kencing najisnya sendiri. Sekalian marga di Loagan Bunut akur, kerana yang membenarkan semua itu berlaku, restu Pemanca Aloh Lawei. Restu seorang tua yang penuh emosi.

Aku sedar, sedikit sahaja kesilapan berlaku, maka aku direjati risiko yang boleh menghalimunankan aku sekelip mata dari negeri ini. Namun aku harus membuka bongkah kunci yang sekian lama tidak pernah dibuka selama ini. Bongkah kunci yang tidak ada sesiapa yang berani membukanya sebelum ini, meskipun anak kuncinya ada pada diri setiap suku kaum Berawan dan Penan. Dan aras keberanian mereka hanya mengecil daripada sarat ketakutan yang terus menguasai dalam diri mereka. Mereka cuak + takut, seperti fauna di lingkaran redup hutan, bila kawasan mereka dicerobohi; Lari lintang-pukang mencari sarang perlindungan. Mereka akur dengan pecah perintah tanah adat dari leluhur mereka. Mereka terdesak untuk menyambung kehidupan yang serba mencabar dan penuh tipu muslihat. Mereka tidak mampu menilai madu kebijaksanaan lelaki tersebut dalam senario dan roh politiknya. Mereka hanya mengeluh pada malam legam dalam rintihan fauna yang mula menjerit jauh ke dalam usus hutan yang terus memekik perit; Kami terpenjara di negeri sendiri. Kami terpasung dalam roh leluhur di Lejeng!

Hanya seketika rintihan lancip itu kedengaran kemudian sirna semula, dan lembah sunyi ini bakal kehilangan segalanya, kerana di sini bakal didirikan deretan hotel bertaraf lima bintang, padang golf aras profesional, taman rekreasi yang serba-serbinya canggih. Malah Calet yang menjejeri setiap tasiknya dengan lakaran panorama waktu senja yang memukau sukma. Setiap marga akan tersenyum dalam culas, dan untuk menidakkan semua itu berlaku, seperti menongkah buncahan gelombang tsunami, kerana susuk lelaki yang sudah rasi dengan bau dan zat hutan berada dalam posisi setiap marganya. Dia arif menukar dirinya seperti halimunan. Halimunan yang pembuas dalam lonjakan nafsu yang terus meraja dan menggila. Lelaki itu terlalu kebal di sini.

Dia yang sudah mahir menyusuri Sungai Bunut, Sungai Tinjar dan Sungai Teru sehingga ke tirus hulu sungainya. Sebut sahaja Berawan Long Teru atau Berawan Long Jegan di Sungai Tinjar, dia petah memahami bahasa aneh dan berseni tersebut. Malah, dia pandai memasang jerat di hutan dan berselera meratah umbut dan pucuk. Semua itu sudah difahami dan dipelajarinya dari Pemanca Aloh Lawei. Semuanya sudah rasi dalam dirinya. Hampir kesemuanya. Dan dia pernah meniduri Hellan, anak perawan tunggal Pemanca Aloh Lawei, sebelum dia menyambung pelajarannya ke luar negara. Perkara tersebut didiamkan pemanca yang kemaruk itu, demi nilai murni persahabatan dan rempuhan ringgit yang mengalir laju ke ruai randaunya. Semuanya membutakan pancaindera pemanca itu tentang kemanusiaan dan maruah harga diri di Loagan Bunut. Pemanca yang bertubuh keliding itu tersenyum memanjang menampakkan ceracak condong gigi kuningnya yang berkarat, sebelum dia meneguk dengan gelojoh tuak yang pada perkiraan ortodoksnya, mampu menerbangkannya ke ruang angkasa dan bebas. Dia terus mengimpikan semua itu berlaku.

-Aku tahu kalian dengki dengan kejayaan Hellan. Sebab itu semua menuduh yang bukan-bukan tentang Hellan. Dia sendiri merelakan apa yang terjadi. Jadi soal paksaan atau tak, itu bukan masalahnya. Bukankah kehidupan ini perlu merebut peluang dan ruang yang sedia ada, bukan menanti dan terus menanti dan akhirnya menjadi tunggul. Malah pengorbanan Hellan, demi melihat suku kaumnya maju dalam pelajaran, tentu tak salahkan.-Kalimat itu masih terngiang-ngiang di telinga ini, ketika kami berpapasan di pasar koboi Pekan Lapok. Dia seperti tidak pernah menyenangi kehadiran aku di Loagan Bunut ini. Seliratan kebencian terus menjalar-belit pada kacipan bibir legamnya. Matanya meliar, seperti dia melihat Induk Janek yang buncit meneran najis dan aku sempat melihat ada bayangan dendam dalam diri pemanca itu. Bayangan kematian sesiapa sahaja yang berani menongkah arus di Sungai Bunut, Sungai Tinjar dan Sungai Teru. Getaran tutur itu terus bersimpongang.

-Hidup memerlukan pengorbanan yang besar, jika ingin dihormati dan disegani. Bukankah kehidupan yang selesa, memerlukan ruang dan peluang yang bukannya sedikit? Jadi tak salah, jika aku melihat semua itu sebagai membalas budi. Lagipun, aku pemanca di sini dan aku berhak menentukan apa yang aku suka. Semua harus menghormati keputusan aku!- Keningnya berselirat, seperti selirat akar-akar kayu di usus hutan Loagan Bunut. Kuntum senyumnya sepahit hempedu akar Merpinang. Lonjong pipinya yang kering jelas kelihatan jalaran urat yang menghijau ke sisi pepeh kepalanya yang berambut nipis kenjur yang memutih itu. Dia meramas parut di pipi kirinya yang masih berkelapat, kerana apa yang berlaku, parut tersebut terkena libasan Ilang dari suku kaum Iban yang tidak pernah menyenangi suku kaum Berawan satu ketika dahulu; Berebut kawasan dan penolakan kahwin sesuku. Cerita itu aku ingat sampai bila-bila, kerana aku juga sebahagian dari suku kaum Berawan. Suku kaum Berawan yang peka dan prihatin dalam komuniti mereka.

-Tapi pemanca, bukankah semua itu seperti menggelapkan masa depan anak gadis pemanca sendiri. Maksud aku, jika dibiarkan lelaki itu sewenangnya menyelak kehormatannya setiap kali berambih ke sini.- Tuturku sedikit perlahan tetapi jelas. Aku tidak tahu, kenapa aku begitu celopar dan beremosi ketika itu. Dan aku sempat melihat raut wajah Pemanca Aloh Lawei merenungku dengan kerutan di dahinya yang bergerak-gerak, Bonggolan anak tekaknya turun naik dengan laju bergelombang. Tancapan matanya, seperti menerobos ke dalam anak mataku. Dia mengentap dan mengacip kedua-dua bibir legamnya, seraya merenung terus. Renungan seampuh Ipoh!

-Aku bencikan kamu, Drusa. Aku bencikan manusia yang tak hormat aku!- Seraya tangan kanannya memegang kejap ulu Ilang yang tersisip kemas di pinggangnya. Sebaik sahaja mata Ilang itu ditarik keluar, dia mengucup mata Ilangnya itu sambil merenung curiga. Dan Ilang itu seperti membersit ke pendengarannya; Dunia Sebayan akan datang juga. Hanya lambat atau cepat.

-Hellan anak gadis tunggal aku. Aku berhak melakukan apa saja terhadapnya. Lagipun, dia sendiri yang merelakan, kerana katanya, suku kaum di Loagan Bunut ini tak mampu menjamin masa depannnya. Semuanya seperti kebuluran. Zaman ini kita dah tak meratah umbut dan pucuk tumbuhan lagi!- Bersitan kalimatnya menyusuk kalbu. Aku seperti melihat tubuh Pemanca Aloh Lawei mula mengecil. Namun aku sedar, bahawa kemiskinan berpunca daripada diri suku kaum itu sendiri. Kemiskinan yang ditempah dan dicari, kerana sulur kemalasan merayap terus tanpa batasan. Perspektif Pemanca Aloh Lawei terlalu hina dan daif sekali, sehingga sanggup meletakkan semua suku kaumnya sendiri seperti tidak bermaruah, demi melihat kelibat lelaki itu terus menguasai, malah memperkosa seluruh susuk Loagan Bunut. Semua itu tidak pernah difikirkannya. Dia hanya tahu buncahan ringgit yang terus melemasinya.

-Tapi, pemanca…-

-Tapi apa lagi, hah? Aku pemanca di sini. Dan Aku berhak menentukan hala tuju kaumku, bukan kamu. Kamu ke sini sekadar membuat kajian untuk bahan akhbar kamu. Itu saja dan tak lebih dari itu. Faham!- Suara Pemanca Aloh Lawei membersit. Bersitannya seperti menakutkan semua yang mendengarnya ketika itu. Aku sempat mengerling tatu yang menjejeri di lengan hingga ke lehernya. Tatu yang cukup berseni dan menakutkan.

-Pemanca boleh menghina aku, tapi pemanca tak berhak menghina tanggungjawab aku terhadap semua suku kaum di sini. Aku juga lahir dari suku kaum Berawan. Aku juga ada pertalian dengan suku kaum Penan. Dan aku berhak menulis tentang tanah kelahiran aku. Dan Loagan Bunut juga sebahagian daripada darah yang mengalir dalam diri aku.- Aku berasa puas setelah melontarkan apa yang sekian lama bergelut dalam fikiran. Biarlah dia menuduh aku tidak tahu menghormati ketua kaumnya sendiri, tetapi aku tidak rela dia terus menghina, demi memenuhi kehendak dan cita-cita kemewahan yang telah dijanjikan lelaki itu.

Malah, jika dia berjaya memujuk dan membenarkan tanah adat mereka dipecah dan diperintah mengikut Undang-Undang Adat Seksyen 5(2) dan 5(2)E (NCR) 1954, dalam sistem geran sementara @ Provisional Lease (PL) lalu digazetkan. Sehingga deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) itu sirna, maka dia dijanjikan pangkat dan kesenangan. Siapakah gerangan yang sanggup mengorbankan dirinya untuk hutan ratusan tahun ini daripada dimusnahkan, demi namanya era pembangunan. Aku bukan anti pembangunan, tetapi biarlah makna pembangunan itu wajar dikongsikan bersama dengan suku kaum Berawan dan Penan, bukan disarati ke dalam ruai sendiri. Aku tidak rela melihat Loagan Bunut mati terasing dalam kelam dan kusam. Aku tidak rela ia terjadi. Aku juga marga yang lahir dari kitaran hutan sebelah sini. Dan aku berhak bersuara.

Dan mata ini seperti melihat semula perlakuan yang terlalu prejudis terhadap kaum minoriti dalam perkiraan intelek, mereka pasti akan pupus satu hari nanti. Ya, mereka akan lenyap dari hutan yang menjadi milik mereka semenjak sekian lama. Malah raung sumpah dan akar janji yang melingkar dalam diri mereka, kian hari kian melerai dan mula mereput lalu menipis dalam wangi haruman Hugo Boss, Aramis, Davidoff, Guy Laroche, Issey Miyake, Chanel, dan J.P. Gaultier. Dan acuan modenisasi itu terus merasuki dalam diri marga di sini, seperti sudah diprogramkan. Rambut mereka yang dahulunya hitam berkilat mula kekuningan mengerbang, seperti baru melepaskan binatang yang masuk ke dalam perangkap, di mana mereka sendiri sudah lupa jalan ke denai yang serasi sebelum ini.

Sekian lama fenomena itu terus menghantui setiap degup jantung gadis sunti yang terpaksa rela dengan muatan nafsu yang mengaum dan terus mengaum, mengekori setiap kemabukan yang ditempah dalam pub di tengah hutan di Loagan Bunut, milik lelaki yang terhormat dan bijaksana itu. Semua itu petanda ketulahan bergelutan dalam muslihat profesionalnya. Marga di sini tidak bermulut lagi, seperti bersua dengan penjelmaan Hantu Palak yang sering diceritakan dari satu generasi ke satu generasi. Malah mereka mula mencuba sesuatu yang membuat mereka ayu dan cantik, bila juihan bibir kusam mereka dicalit gincu merah, coklat, biru tua, ungu malah hitam berkilat dengan Maybelline, Loreal, Estee Lauder, Lancome, Revlon, Clinique, dan Christian Dior terus memasung sarat keinginan mereka, dan setiap malam menghala ke sebuah pub di tengah hutan itu, demi tuntutan tersebut.

Adakah ini adil? Kenapa seperti ber(se)lindung apa yang sebenarnya berlaku. Mereka seperti terus terpasung dengan kerakusan nilai ringgit yang menanti dan terus menanti untuk memenuhi naluri peribadi. Malah kehidupan yang selama ini dirasuki kemiskinan, mula berubah menjadi kemewahan yang mendadak. Kemewahan yang runcing dan lali. Kemewahan yang anarki! Merenung satu persatu wajah anak-anak suku kaum Berawan dan Penan yang mula mengenal erti persahabatan, tidak seperti apa yang berlaku sebelum ini mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain, kerana perbezaan bahasa dan tatacara hidup. Suku kaum Berawan yang mengamalkan sistem saling membantu antara mereka, sedangkan suku kaum Penan tidak mengenal makna persahabatan, apa yang mereka lalui, kehidupan nomad yang berpindah ke satu tempat yang lain, mengikut peredaran musim buah-buahan hutan dan berpinaknya fauna.

Tanggapan klise itu sering mengganggu pendengaran ini, bila orang luar mula bercerita tentang kenaifan dan kemiskinan mereka. Namun semua itu tanggapan yang salah, kerana mereka yang dahulunya takut dengan matahari tidak lagi memicingkan kelopak mata sepet mereka, jika terbias sinar perak itu. Kini mereka mahukan kehangatan dalam kehidupan mereka yang sebelum ini amat menakutkan. Mereka menjadi sukakan matahari. Semua perubahan yang mendadak itu menggembirakan. Satu hari nanti, aku ingin melihat kebebasan mutlak marga di sini, bukan diperalatkan dengan alasan-alasan ortodoks yang curiga dan dusta. Loagan Bunut perlukan kebebasan. Loagan Bunut harus bebas daripada lakaran lelaki Sarawakian itu. Seperti bebasnya, pencerobohan Lakei Penan dari Switzerland.

Biarlah aku ceritakan riwayatku. Aku dilahirkan dua puluh tujuh tahun yang lalu, di bawah susunan silang atap Sulok rumah tradisi suku kaum Berawan, kemudian aku dibawa ke tengah suku kaum Penan dengan alasan yang cukup kukuh, E’e dari suku kaum Penan. Aku dari suku kaum Berawan dan sekaligus suku kaum Penan. Dan kerana itulah yang membawa aku ke lembah keramat ini. Lembah yang pada perkiraanku, minta diselamatkan daripada rahang malapetaka. Tidak dapat kubayangkan E’e dan Amam menemui detik kematian yang getir sekali, kerana sengketa perkauman. Di mana mereka ditemui terkapar lemas di tengah olakan arus Sungai Bunut. Pelbagai spekulasi yang muncul dan sirna begitu sahaja. Dan aku yang telah dibesarkan seseorang yang berwajah lembut dan putih itu cukup membuat aku melupakan segalanya. Aku dibawa keluar dari kepungan dan lingkaran keredupan serta kebeningan Loagan Bunut menuju ke susur kotaraya Miri. Aku dibesarkan dengan asuhan kotaraya yang aku sendiri tidak ingat apa-apa lagi, tentang suku kaum Berawan dan Penan selepas itu, sehingga satu ketika bila aku ditugaskan mewawancara seseorang untuk akhbar Frontpage, aku terkesima, bila wajah lelaki tua itu mengingatkan aku pada seseorang sebelum ini, tetapi aku tidak mampu mengingati siapa dan di mana.

Di situlah bermulanya naratif dukalara ini. Semenjak itu aku mencari dan terus mencari akar salasilah leluhurku, dan tulisan tangan Amam sempat kukucup dan aku berasa betapa aku mula mengenal semula suku kaumku semenjak sekian lama sirna dalam katarsis diri. Aku rindukan mereka. Aku ingin memeluk susuk tubuh mereka, tetapi…Aku tidak menyalahkan sesiapa dalam perkara ini. Itulah aras perkiraan dan tanggapan negatif + intelektualisme aku. Aku yang sekian lama mencari akar leluhurku yang sirna dalam arus modenisasi. Namun aku pasti akan mencarinya, di celah seliratan akar salasilah kaumku. Aku percayakan Tuhan yang telah menguji aku selama ini. Dia yang maha mengetahui apa yang bergolak dalam hati kecil ini semenjak sekian lama, seperti bergolaknya Sungai Bunut, Sungai Tinjar dan Sungai Teru menongkah arus.

Dan misteri Projek Borneo Plantations Sdn. Bhd dan Mling Global Simited yang disenaraikan di papan utama Bursa Saham Hong Kong juga diterajui lelaki itu dan kroninya cukup gah dan digeruni. Semua itu hak marga di sini, setelah hutan milik mereka diceroboh tanpa kerelaan. Semua itu menceritakan betapa lelaki itu dan kroninya, mahu lakaran kemiskinan itu milik kekal dan abadi marga di sini. Aku hanya mahu menulis naratif ini sehingga selesai, itu sahaja sarat harapanku. Aku mahu satu hari nanti generasi baru di Loagan Bunut menyambung pembebasan lembah ini daripada diceroboh dan diperkosa terus menerus. Aku harus memperjuangkan hak dan maruah suku kaum Berawan dan Penan di sini. Namun aku sedar, apa yang kuimpikan pasti memerlukan pengorbanan yang besar serta tanggungjawab marganya.

-Kamu dari suku kaum Berawan, ya? Bukan dari suku kaum Penan?- Suara seorang yang gelarnya seorang guru, ketika kali pertama aku masuk ke kelas. Aku mengangguk perlahan dan aku masih ingat lagi, bila aku baru mengenal erti alam persekolahan di kotaraya Miri, seperti aku baru mengenal kehidupan ini bermula. Pelik dan terasing. Semuanya serba mengelirukan, seperti dikerumuni ratusan lebah ketika itu. Dengungannya membuat aku takut dalam anarki. Namun aku harus belajar makna berani untuk meneruskan kehidupan, meskipun aku sendiri masih berasa suasana baru. Dan keluarga angkat aku banyak membantu, sehingga aku mampu berdikari dan berada di posisi sekarang. Namun rasa kerinduan pada bau dan zat kaumku terlalu kuat menarik ke Loagan Bunut. Malah Lejeng E’e dan Amam, seperti ingatan yang mengacah-acah minta dilestarikan. Kerinduan yang pelik mengujakan.

Aku ingin menziarahi Lejeng mereka di Loagan Bunut. Aku ingin bersendirian dengan alam Lejeng mereka. Dan aku percaya roh mereka bersama aku nanti. Aku ingin akrab dengan dunia Sebayan E’e dan Amam. Mampukah aku melakukannya? Untuk pengetahuan tuan, cebisan tulisan tangan yang tidak kemas itu masih dalam simpananku. Tulisan tangan yang mencabar tahap rasa ingin tahu naluriku; -Jika kamu dewasa nanti, carilah Lejeng E’e dan Amam di pinggir hutan Bunut. Susurilah Sungai Bunut, Tinjar dan Teru, kerana Lejeng itulah ingatan kecil E’e dan Amam.- Itulah tulisan yang sekali dilihat tidak jelas dan susunan perkataan yang seperti tidak dieja dengan betul, contohnya perkataan Lejeng dieja Ljeng, Loagan dieja Logan, Tinjar dieja Tnjar, Teru dieja Tru dan hutan dieja utan.

Semua itu membuat aku sedar, bahawa aku harus memahami sarat keinginan E’e dan Amam yang meninggalkan sesuatu yang begitu bermakna. Meskipun aku dilahirkan dengan rasa kasih sayang antara dua suku kaum yang berbeza ideologi dan budaya. Segalanya membuat aku ingin ke Loagan Bunut, melihat horizon dan menghidu bau zaman perkasihan mereka.Tulisan tangan itu diserahkan nenek kepada orang yang berhati mulia membawa aku keluar daripada kepompong kemiskinan. Tetapi mampukah aku menarik suku kaum Berawan dan Penan keluar daripada kepompong kemiskinan di Loagan Bunut dalam situasi sekarang? Mampukah aku menentang jelingan dan tancapan mata Pemanca Aloh Lawei yang berbias sekawanan Janek bertaring di birai matanya. Mampukah aku meloloskan diri dari kepungan lelaki halimunan yang cukup berpengaruh dan disegani itu?

Aku tetap percayakan Tuhan akan membantu aku untuk melihat bulan dan matahari tanpa ada bebayang mendung di Loagan Bunut. Aku percaya semua yang berlaku itu satu kekuasaan yang mutlak dari yang maha Esa. Aku percaya Tuhan masih ada di Loagan Bunut! Hanya akhbar Frontpage jalan terakhir untuk aku menongkah arus itu. Malah, membuka bongkah kunci yang berabad lamanya, bukannya semudah yang disangkakan. Frontpage yang aku tulis sudah pasti membuka ruang dan peluang aku untuk dihalimunankan sekelip mata daripada terus membuka pekong kejahatan lelaki itu. Gelutan persoalan itu bercempera terus menerus. Dan aku harus menongkah arus yang dikocakkan lelaki itu dan Pemanca Aloh Lawei.

-Jangan menjadi adiwira di Loagan Bunut ini, jika awak mahu selamat. Kalau tak, awak yang akan ditelan semah puaka di hutan Loagan Bunut!- Itulah sms yang aku terima dari seseorang, di mana dia mendapatkan nombor telefon bimbitku. Bukan itu persoalannya dalam terjahan dan rentasan arus teknologi masa kini. Semuanya cukup membuat aku menilai, bahawa kesungguhan mereka untuk menghalau aku daripada terus berada di Loagan Bunut bukan sekadar gurauan. Mereka tidak mahu aku campur tangan dengan apa yang berlaku di Loagan Bunut. Adakah aku harus berdiam diri dengan apa yang berlaku di sini, tempat tumpahnya darah merahku? Tempat Lejeng Amam dan E’e bersemadi? Aku tidak akan merelakan semua itu. Aku marga Loagan Bunut yang dilahirkan dalam suku kaum Berawan dan Penan. Aku berhak menunjukkan jalan ke luar kepada orang luar itu. Itu janjiku.

Mereka tidak sedar, aku juga marga Loagan Bunut. Aku berhak menulis kepincangan yang telah sekian lama berlaku di sini. Tentang rogol beramai-ramai gadis dari suku kaum Penan, Berawan yang seperti dilenyapkan semua laporan dan dokumen mereka selama ini. Tentang pemilikan tanah adat dengan paksaan dan ugutan, tentang balak yang ditukar spesies asalnya untuk diekspot ke luar negara. Hasil kerjasama pegawai perhutanan yang sudah sekian lama kekenyangan, hasil daripada manisnya rasuah. Malah, pembunuhan kejam spesies Orang Utan, Harimau Kumbang serta Badak Sumbu cukup menguntungkan lelaki itu. Semua itu sudah aku tulis dan bakal menggegar akhbar Frontpage satu hari nanti.

Biar World Wide Fund For Nature Greenpeace (WWF), United Nations Development Programme-Global Environmental Facility (UNDP-GEF), malah pihak CNN, (ATV) dari Australia dan TFI dari Peranchis serta Reuter mengetahui apa yang sebenarnya ber(se)lindung di sebalik hutan hujan Loagan Bunut ini, tidak termasuk lagi kemasukan pendatang tanpa izin setiap malam melalui sempadan. Semua itu fakta lengkap yang cuba di(se)lindungi daripada diketahui marga negeri ini. Semua itu seperti diillusikan daripada bingkai lakaran unik dan artistik Loagan Bunut. Dan misteri itu yang bakal mengejutkan pembaca akhbar Frontpage. Seperti terkejutnya marga negeri ini, bila Bruno Manser berada di sini semula, sehingga beberapa tokoh politik mengutuk dan menyelar Bruno Manser Faundation @ BMF dan brunomanser.blogspot.com kerana mendedahkan kes rogol kaum Penan yang tidak diambil peduli pihak tertentu selama ini.

Semuanya menceritakan segala anarki yang telah dicipta lelaki itu. Dia yang tidak pernah mengenal makna kemanusiaan, seperti teks ucapannya ketika berkempen tentang pembangunan negeri dan undang-undang yang sedia ada. Fakta itu hikforit dan ortodoks semata-mata. Malah pencemaran Sungai Bunut, Sungai Teru dan Sungai Tinjar yang terus mengosongkan Selambau tanpa ada spesies seperti Biawan, Kaloi, Belidak, Bantak, Baong, Adong, Puyu, Sepat, Sakam dan Magalan. Dan agenda sulit yang paling mengerunkan, tentang penjualan sebahagian negeri ini, kerana beberapa bahagian selatan dan timur telah dikenal pasti mengandungi kemilau emas, bijih timah dan arang batu yang boleh membuat negeri ini dipandang gah, tetapi atas bioraksi dan isu konglomerat yang terancang tidak ramai yang tahu muslihat tersebut.

Dan kerana faktor tersebut, maka Loagan Bunut destinasi yang paling sesuai sekali untuk dijadikan tempat operasi mereka yang kemaruk dengan kekayaan yang membuat seluruh generasi mereka tidak pernah kebuluran, malah mereka boleh berhijrah ke luar negara tanpa berkerja seumur hidup. Kekayaan yang menyedut daripada kemiskinan dan kesengsaraan marga di sini. Tentu tuan terkedu membaca naratif yang berbelit-belit ini. Belitannya, seperti jalaran akar-akar pokok Merbau, Merpinang, Meranti, Selangan, Mersawa, Ramin, Jongkong, Merdang Buluh yang agam dan menegak di perabung langit dan di banir pepehnya, luruh daun-daun kering menjadi baja lantai hutan.

Akhbar Frontpage bertarikh 20 Januari 2010 melaporkan seorang journalis dipercayai mati lemas di antara buncahan coklat muara Sungai Bunut, Sungai Tinjar dan Sungai Teru, tanpa apa-apa kesan yang boleh diklasfikasikan sebagai kes bunuh. Mayat seorang journalis yang dikenali sebagai Drusa Pge hampir reput dalam longgokan sampah-saraf dari hulu sungai.

Drusa Pge dibawa bapa ke Miri kerana kasihan melihat kanak-kanak itu yang telah kehilangan kedua-dua orang tuanya, sedangkan ketika itu di Loagan Bunut, suku kaum Berawan dan Iban mengalami krisis yang melibatkan dendam yang sekian lama tidak pernah usai, sehingga merebak ke penempatan suku kaum Penan. Dan naratif kecil ini perihal misteri lelaki tersebut. Lelaki yang terus menguasai Loagan Bunut tanpa ada yang berani menghalang kerakusan dan kemabukan dengan kekayaan serta kemewahan yang bukan miliknya, tetapi milik suku kaum Berawan dan Penan di Loagan Bunut. Ezra Ngajang. Akhbar Frontpage.

Glosari;

1. Amam: Panggilan bapa atau sapaan hormat kepada orang lelaki yang lebih tua bagi suku kaum Penan.

2. E’e: Panggilan emak bagi suku kaum Penan.

3. Hantu Palak: Mitos sesetengah suku kaum yang mempercayainya, bahawa jika sesiapa ternampak, maka ditimpa musibah yang berpanjangan dan satu upacara akan dilakukan mengikut adat dan tradisi suku kaum tersebut.

4. Ilang: Sejenis parang yang diukir dengan berseni/Parang pahlawan.

5. Induk: Perempuan/Betina.

6. Ipoh: Getah pokok Ipoh yang cukup berbisa.

7. Janek: Khinzir.

8. Lakei Penan: Panggilan suku kaum Penan kepada Bruno Manser.

9. Lejeng: Tempat menyimpan mayat bagi suku kaum Berawan yang digunakan untuk mengebumikan seseorang yang meninggal dunia. Lejeng merujuk kepada dua batang kayu yang didirikan bagi menyokong keranda yang diletakkan di tanah perkuburan.

10. Rambih: Bermalam.

11. Ruai: Beranda rumah.

12. Sebayan: Dunia selepas kematian.

13. Selambau: Sejenis alat menangkap ikan suku kaum Berawan yang berbentuk V terbalik.

14. Sulok: Sejenis tumbuhan yang berdaun lebar yang selalu digunakan untuk dijadikan atap rumah suku kaum Berawan dan Penan.