Thursday, October 13, 2011

fragmen novel; LOAGAN BUNUT


BAB 21

DI dalam pub itu terus bergema irama dangdut yang seperti tidak mahu kalah dengan dentuman guruh dan runtuhan hujan yang terus menggila di luar. Drusai dan Dewan terus mencari-cari jika terlihat kelibat Seluna dan Malaie dalam kerumunan pengunjung yang seperti tidak mahu berhenti menari dan memenuhi ruang rekong mereka dengan perahan air yang memabukkan itu. Bau perat masam memenuhi ruang pub tersebut. Hiruk-pikuk yang menyendat dalam pub tersebut cukup merimaskan mereka berdua. Namun mereka sedar, tugas mereka untuk mengesan di mana orang-orang Tauke Jr menyembunyikan Seluna dan Malaie.

“Dah hampir tiga jam kita ke sini, tapi kelibat mereka berdua tak nampak pun.” Bisik Drusai pada Dewan. Dewan mengangguk sambil memegang gelas dan perlakuan mereka seperti orang yang telah banyak meneguk minuman keras.

“Kita keluar?” Cadang Dewan.

“Nanti kita disyaki, jika tak keluar sama dalam kelompok lelaki Inggeris tu.”

“Ya tak ya juga, tapi jika kita berada di sini pun aku rasa kita dalam bahaya juga.”

“Lalu?”

“Kita keluar ikut pintu belakang.”

“Tandas?”

“Cadangan yang relevan dan positif. Tapi di mana tandas?”

“Tanya pelayan.”

“Aku setuju, tapi kita tak boleh bergerak berdua, kena bergilir takut orang-orang Tauke Jr perasan.”

“Okey. Harap sukses.”

Drusai meletakkan gelas kosong yang diteguknya di atas meja, dia lalu bergerak seperti orang dalam keadaan mabuk. Dia mendapatkan pelayan lalu berbisik ke telinganya. Pelayan tersebut menunjukkan ke arah seperti yang ditanyanya. Dia sempat mengerling Dewan yang menanti dan bergerak dalam keadaan yang tidak mencurigakan sesiapa.

Irama dangdut dalam pub terhenti tiba-tiba dan serentak itu meluru segenap penjuru orang-orang Tauke Jr dengan agresif. Drusai terus bergerak ke tandas seperti yang dirancang, namun dia disekat seorang lelaki yang tadi melihat kelibatnya dan Dewan berbisik dalam keadaan mencurigakan.

“Aku rasa dia ni salah seorang dari mereka!” Jerit lelaki tadi terus memukul Drusai yang tidak melawan. Drusai tersungkur bila perutnya dihentam dengan kayu Baseball oleh salah seorang dari orang-orang Tauke Jr.

“Kenapa ni?” Suaranya sedikit tenggelam dalam kebingitan suara orang-orang Tauke Jr yang menyekat sesiapa saja untuk keluar dari tempat tersebut. Dari bilik khas keluar Tauke Jr dan Tuan Do yang masih memeluk pinggang gadis yang merengkek minta dibelai. Gincu di bibirnya sedikit kusam.

“Apa yang berlaku. Tak tahukah kita ada tetamu dari luar. Hah!” Gema suara Tauke Jr seperti menyelinap setiap pendengaran sesiapa saja yang berasa di pub tersebut. Ruang pub senyap seketika. Hanya kedengaran cungapan nafas Drusai yang dibelasah teruk oleh orang-orang Tauke Jr.

“Perempuan yang kita culik sudah tak ada di tempatnya lagi. Mereka dapat meloloskan diri!” Sahut salah seorang dari orang-orang Tauke Jr.

“Hah! Apa? Mereka hilang?” Jengulan bola matanya jelas kelihatan. Lelaki Inggeris yang berada tidak jauh dari situ terpinga-pinga, lalu berbisik sesama sendiri. Mereka saling berpandangan bila mendengar segahan Tauke Jr.

“Cari orang yang terlibat dalam perkara ini. Bawa ke bilik aku, biar aku buraikan otaknya! Berani dia mencabar aku! Dia tak tahu siapa Tauke Jr?”

“Baik, Tauke Jr.”

“Ingat! Jangan sesiapa keluar dari pub ini. Periksa semua mereka, kecuali lelaki Inggeris! Aku rasa mereka ada di kalangan kita di pub ni.”

Orang-orang Tauke Jr terus memeriksa pengunjung di situ, kecuali lelaki Inggeris yang tidak mungkin bersubahat. Sampai giliran Drusai, orang-orang suruhan Tauke Jr terus memeriksanya. Tidak semena-mena Drusai dipukul lagi dan dia diseret seorang lelaki yang bersusuk agam dan bermuka bengis. Lengannya dipenuhi dengan tatu Naga terus merengkuh leher Drusai yang tidak mampu melawan. Ada kucuran darah mengalir di bibir Drusai. Dan dia berasa bahawa detik itulah pengorbanan harga sebuah pembangunan.

Melihat Drusai dibelasah dengan teruk oleh orang-orang Tauke Jr, Dewan mula bergerak dalam kumpulan lelaki Inggeris, tapi dia sempat dilihat salah seorang orang-orang Tauke Jr yang tidak jauh darinya. Lelaki itu terus mendapatkannya, namun Dewan bertindak untuk melarikan diri, tapi tersekat dalam kepungan orang-orang Tauke Jr yang seperti akur dengan arahan dan perintah tuan mereka. Lelaki Inggeris yang melihat apa yang berlaku mula ke tepi dan terus bercakap sesama sendiri dengan apa yang telah berlaku. Mereka melihat dengan curiga dan takut. Dewan dikerumuni orang-orang Tauke Jr.

“Aku tak tahu apa-apa dalam perkara ni. Aku ke sini untuk berhibur. Itu saja.”

“Berhibur ya, tapi kenapa kamu rapat dengan lelaki tu, hah? Apa kamu ingat kami tak tahu ya? Sudahlah, seret dia bawa masuk ke dalam jumpa Tauke Jr, pasti ada habuan yang menyeronokkan menanti mereka. Kalau tak pun Tauke Jr akan kirim mereka serentak ke dunia lain yang lebih menakutkan!” Serentak itu rusuk Dewan seperti terkena benda yang keras dan dia berasa ngilu bila radakan kayu pemukul Baseball mengena rusuknya. Dia terjelepuk ke lantai. Drusai yang masih dipegang oleh tangan yang bertatu itu meronta, tapi dia juga dibelasah seperti Dewan. Mereka terhenyak tidak berdaya untuk berdiri lagi. Muka mereka berlumuran darah yang mengucur laju dan segar.

“Heret mereka berdua dan bawa ke bilik Tauke Jr!” Arah salah seorang dari orang-orang Tauke Jr. Mereka berdua terus diheret dengan kasar masuk ke bilik khas Tauke Jr. Irama dangdut terus bergema semula, seperti tidak ada yang berlaku dan terus berlaku. Lelaki Inggeris yang tergamam tadi menghampiri semula meja mereka seraya meneguk minuman yang berpusar-pusar buih di dalam gelasnya. Di sebelah mereka sudah menanti gadis-gadis yang merengek minta dibelai seraya meramas tengok mereka. Dan mereka terus berkucupan, persis kekasih yang sekian lama tidak bersua layaknya. Irama dangdut terus memabukkan sesiapa saja. Sementara pengunjung tempatan yang lain mula melupakan apa yang telah berlaku kerana pada perkiraan mereka, mereka harus berhibur dan terus berhibur tanpa memikirkan apa yang berlaku, lagipun itu bukan urusan mereka.

Di dalam bilik khas Tauke Jr dan Tuan Do tersandar di kerusi masing-masing di sebelah mereka duduk ghairah gadis genit yang seperti minta dibelai dan diusap. Drusai dan Dewan terduduk. Mulut dan muka mereka perlahan mengalir cecair merah. Lampu yang dibiarkan malap tadi ditukar dengan lampu yang cerah. Kuluman senyuman Tauke Jr sengaja diherotkan. Renungan tajam Tuan Do terus memerhati mereka berdua yang tertunduk lemah longlai. Ada ruapan kebencian yang bergelut dalam dirinya.

“Jadi kamulah jurnalis yang menulis berkenaan dengan kes perkosaan itu ya? Jadi kamulah yang berani mencabar aku di Loagan Bunut ni! Hah!” Jerkah Tauke Jr setelah dia sempat dibisikkan Tuan Do sejurus tadi. Dia merenung ke wajah Tuan Do kemudian ke wajah mereka berdua. Dengusan nafasnya jelas kedengaran seperti dengusan Anjing yang mencium najisnya sendiri. Jengulan bola matanya membulat tertancap terus ke arah Drusai dan Dewan.

“Hei, cakap! Kamu jangan nak jadikan Tauke Jr seekor Harimau yang parah tahu! Kamu belum tahu bagaimana dia pungkas dan marah jika kewibawaannya tercemar dan hasratnya tergendala!” Sampuk salah seorang lelaki yang mengheret Drusai dan Dewan tadi. Mereka berdua langsung tidak memberi respon apa yang ditanya. Mereka berdua hanya tertunduk dan jenuh dalam diam, seperti sedang mengendap kelibat buruan dalam zulmat malam.

“Aku tanya ni? Kamu pekakkah?” Ulangnya. Dia lalu memerhati Tuan Do. Tuan Do mengambil sesuatu tersisip di belakangnya. Sepucuk pistol berpindah tangan. Dia lalu mengacukan ke kepala Drusai. Drusai merenung kosong wajah Tauke Jr dan dia sempat mengumpul liurnya lalu meludah ke muka lelaki yang bulat itu, ludahnya yang melekit persis cecair yang keluar dari batang Rumbia itu tidak mengena wajah Tauke Jr. Tauke Jr mengentap bibir seraya jengulan matanya membulat seperti biasan wajah Drusai berada di dalam jengulan mata itu. Tauke Jr mengelap cecair yang dihamburkan Drusai dengan belakang tangannya seraya mata nyalangnya terus merenung wajah Drusai. Anak tekaknya turun naik. Dengusan nafasnya menderam.

“Betullah apa yang aku tahu, bahawa kamu menulis semua ini? Hah!” Serentak itu satu tendangan mengena rusuk Drusai. Namun ia tidak berakhir di situ kerana satu luncuran peluru menyusup dalam tenggorak lalu memburaikannya. Letupan yang bergema itu tirus dan sirna dalam seketika. Drusai terkulai. Di sisi kepalanya terkeluar darah mengucur laju, persis arus Sungai Bunut ketika surut. Suasana hening menyelinap dan ruang bilik tersebut meruap bau darah segar.

Melihat apa yang telah dilakukan Tauke Jr terhadap Drusai, Dewan tersentak dan mengelupur ketakutan, dan dia sempat mendengar dengkuran nafas terakhir Drusai bergalau-galau dan terus senyap. Tauke Jr menuju ke arah Dewan dan dia lalu memetik sekali lagi picu dengan jari telunjuk kirinya. Dewan hanya pasrah dengan apa yang berlaku. Dia akur bahawa itulah detik ketakutan yang harus dilaluinya, demi sebuah perubahan di Loagan Bunut. Semua yang ada di situ tergamam dan cuak. Hanya dengusan nafas yang kedengaran selepas letupan kali kedua itu. Tauke Jr menghulurkan pistol yang sempat dikucupnya, lalu diberi semula kepada Tuan Do. Tuan Do mengambilnya dan menyisipkan di belakangnya semula. Terasa hangat meresapi tulang belakangnya. Tauke Jr menepuk bahu Tuan Do yang melirikkan senyuman kecilnya.

“Terima kasih kerana senjata awak tak pernah mengecewakan seorang sahabat. Dan terima kasih kerana seorang sahabat harus melihat semua ini sebagai tanda kepercayaan dalam bersahabat.”

“Seorang sahabat harus membantu seorang sahabat yang dalam kesusahan. Dan seorang sahabat harus berkorban apa saja demi sahabatnya.” Mereka berdua lalu mencapai gelas minuman yang tidak sempat dihabiskan tadi. Sementara orang-orangnya terus diarahkan supaya mengheret mayat Drusai dan Dewan keluar dari bilik tersebut. Dia sempat merenung wajah mereka yang tenang, setenang tasik di Loagan Bunut waktu dinihari.

“Tanam mayat mereka. Ingat, jangan sampai dihidu oleh sesiapa. Seperti apa yang berlaku sebelum ini. Ingat!” Perintah Tauke Jr. Orang-orangnya meninggalkan bilik khas itu. Kemudian masuk beberapa orang yang lain terus mencuci likatan darah yang terpercik tadi.

Di luar irama dangdut terus bergema dan mencandui sesiapa saja. Hujan yang lebat tadi masih tidak berhenti. Dentuman guruh terus mengejutkan orang-orang Tauke Jr yang berkawal di luar kawasan tersebut. Mereka seperti tidak menghirau apa yang berlaku dan akan berlaku, kerana semua itu rutin yang harus mereka lalui. Mereka sedar, sesiapa saja yang menongkah arus menidakkan penguasaan Tauke Jr dan Tuan Do di Loagan Bunut pasti menerima geruhnya. Geruh yang menakutkan sesiapa saja.

Di luar segrombolan Pasukan Gerakan Am bergerak mengepungi kawasan tersebut. Orang-orang Tauke Jr yang melihat kelibat Pasukan Gerakan Am mengepungi kawasan itu terus masuk ke dalam untuk memberitahu apa yang berlaku. Namun semua itu sudah terlambat kerana setiap kawasan di pub tersebut sudah terkepung. Malah ada sebahagian daripada orang-orang suruhan Tauke Jr dalam keadaan mabuk dan ada yang masih terbuai dalam rasa khayal yang terus menguasai diri mereka. Tauke Jr dan Tuan Do tidak dapat memberi alasan apa-apa. Mereka berdua akur dengan apa yang berlaku pada malam jahanam itu. Di benak Tauke Jr masih terbias wajah dua orang lelaki yang terkulai berlumuran darah dalam keadaan yang maha tragis sekali dengan kepala mereka ditembusi luncuran dua das peluru yang tidak mengenal ampun itu. Dia hanya menelan semua itu dengan kudup-kudup kekesalan yang mula gugur dari kelopak rasa angkuhnya selama ini. Semua yang berlalu itu persis drama sebabak yang telah berlaku penuh dramatik dan mengusik naluri kemanusiaan. Dan malam itu Tauke Jr dan Tuan Do mula belajar memahami makna ketakutan yang mengacah-acah dalam diri mereka yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

Hujan terus menggila dalam desahan angin yang seperti hendak mencabut pokok Menggeris, Kapur, Merpinang, Meranti, Mersawa, Merbau, Selangan Batu, Jongkong dan Ramin dalam zulmat malam.

0 comments: